Kos bajak sawah RM800 sehektar?

Kos bajak sawah RM800 sehektar?

PENGUSAHA jentera pertanian yang juga pesawah, Abdul Manaf Don, 63, memerhatikan pembantunya melakukan kerja pembajakan di sawah miliknya di Tok Keling, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengusaha jentera pertanian di negeri ini merayu kerajaan mempertimbang pemberian diesel bersubsidi menjelang musim penanaman 1/2026 bermula hujung bulan ini bagi menampung kenaikan kos bahan api.

Rata-rata pengusaha yang ditemui Utusan Malaysia melahirkan kebimbangan apabila kemungkinan besar merela terpaksa menaikkan kos sewa jentera kepada pesawah sehingga dua kali ganda sekaligus membebankan golongan itu.

Seorang pemilik traktor, Mohd. Amirul Idris, 39, berkata, bukan itu sahaja, mereka kini juga kebingungan untuk menetapkan sewa baharu ekoran kenaikan harga diesel yang tidak tetap ketika ini.

“Sekarang musim membajak tetapi kami sendiri tak tahu nak sewakan berapa kepada pesawah sebab harga diesel tak tetap.

“Apa yang pasti kos bajak akan naik dua kali ganda berbanding RM525 sehektar atau RM180 hingga RM200 setiap relung musim lepas ketika harga diesel masih rendah.

“Kalau congak dengan harga diesel ketika ini iaitu RM6.72 seliter mungkin akan jadi lebih RM800 sehektar untuk sekali putar bendang. Kalau diesel naik lagi jadi sewa akan lebih tinggi.

“Kami sendiri tidak sampai hati hendak letak harga tinggi kepada pesawah yang semakin tertekan dalam isu ini, namun apakan daya,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Amirul, situasi yang menghimpit golongan pesawah dan pengusaha jentera pertanian juga dikhuatiri melemahkan semangat orang muda sepertinya untuk menyertai sektor padi.

“Budak-budak muda sekarang pun sudah mengeluh lebih baik mereka cari kerja makan gaji daripada terlibat dalam sektor ini. Semua pengusaha jentera akan terlibat kerana kami menggunakan diesel sepenuhnya.

“Jadi kami harap sangat kerajaan mempertimbang subsidi seperti sektor lain bagi menampung kenaikan harga diesel ini.

“Kasihan petani yang banyak golongan asnaf dan kini semakin kesusahan, mereka tak mungkin berhenti tanam padi kerana itu sahaja sumber pendapatan,” jelasnya.

Seorang lagi pengusaha, Mohamad Shahriza Shafie, 37, memberitahu, sebagai golongan yang terlibat dalam sektor makanan utama negara, golongan itu juga sepatutnya layak memperoleh diesel bersubsidi atau fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kalau bimbang berlaku ketirisan kami cadang agar fleet card ini disalurkan melalui agensi terlibat yang mengetahui pergerakan kami. Ia lebih mudah atau jika tidak mahu beri subsidi ini sepanjang tahun berilah ketika musim penanaman atau menuai sahaja iaitu dua kali setahun.

“Kami pengusaha juga tanggung beban kerana terpaksa keluar modal dahulu untuk beli diesel. Setiap kali ke bendang kami perlu isi 200 hingga 300 liter jadi bayangkan jika terpaksa beli dengan harga RM6.72 atau lebih,” katanya.

Tambahnya, kos diesel tersebut yang terpaksa diserapkan kepada golongan pesawah pasti membebankan mereka yang juga menanggung kerugian ekoran pelbagai masalah lain seperti penyakit padi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN