Elak bazir, wanita Malaysia sewa baju raya

Elak bazir, wanita Malaysia sewa baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMI mengelak pembaziran, kalangan wanita Malaysia memilih menyewa busana Aidilfitri berbanding membelinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Alternatif ini disifatkan lebih mesra poket tanpa perlu berbelanja besar dalam mendapatkan pakaian idaman.

Apatah lagi, harga kebanyakan busana berjenama di pasaran kini disifatkan tidak masuk akal dan menyamai bayaran ansuran bulanan kereta.

Pengasas platform sewaan fesyen, We Rent Fashion (WRF), Suraidah Pudelani berkata, trend menyewa pakaian Aidilfitri dikesan tular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, ia sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden dan bukan sekadar pilihan sementara semata-mata.

Perkembangan itu dipengaruhi oleh sikap masyarakat yang mahu bergaya, tetapi dengan cara lebih berpatutan, fleksibel dan mampan.

“Sebenarnya, trend menyewa pakaian untuk acara khas seperti majlis perkahwinan dan gala sudah lama wujud di Malaysia.

“Namun, konsep menyewa baju raya ini mula mendapat perhatian meluas selepas Covid-19 disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar dan peningkatan kos hidup.

“Dengan menyewa pakaian, pengguna dapat memakai busana pereka fesyen terkenal dengan harga serendah RM45 untuk tiga hari, berbanding kos pembelian yang mencecah RM500 ke atas,” katanya baru-baru ini.

Menerusi alternatif itu juga mereka dapat bergaya tanpa komitmen untuk membeli sesuatu yang tinggi nilainya.

Bahkan, seseorang tidak perlu menyimpan pakaian yang mungkin hanya digunakan setahun sekali, sebaliknya, dapat menukar gaya saban tahun.

Lebih-lebih lagi, akses kepada pakaian eksklusif dan fesyen terkini mungkin sukar didapati atau terlalu mahal jika dibeli.

“Setiap tahun, ramai membeli baju raya hanya untuk dipakai sekali dua sahaja, kemudian ia disimpan di dalam almari.

“Amalan ini bukan sahaja membazirkan duit, bahkan turut meningkatkan pembuangan tekstil, yang merupakan masalah utama dalam industri fesyen,” katanya.

Dengan menyewa, pengguna mempunyai pelbagai pilihan rekaan seperti kurung moden, kebaya klasik atau dress mewah, tanpa perlu berbelanja besar.

Ujar Suraidah lagi, pengaruh media sosial seperti TikTok dan Instagram turut mempengaruhi sambutan terhadap sewaan baju raya.

Hal itu kerana, ramai wanita tidak mahu mengulangi baju sama dalam gambar berbeza bagi ootd, jadi menyewa memberikan peluang untuk bergaya tanpa pembaziran.

70 peratus baju ditempah

Sehingga kini lebih 70 peratus slot sewaan baju raya di WRF telah ditempah untuk hari pertama hingga ketiga Syawal.

Majoriti pelanggan memilih tempahan awal bagi mendapatkan pilihan rekaan yang terbaik sebelum kehabisan stok.

Menurut Suraidah, sambutan pada Aidilfitri ini sangat menggalakkan dengan permintaan melonjak pantas berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pelanggan mula menyewa seawal Disember lagi, sekali gus membuktikan yang perkhidmatan sewaan fesyen semakin diterima sebagai pilihan utama untuk sambutan Syawal.

“Berdasarkan sambutan positif ini, saya menjangkakan baki 30 peratus daripada keseluruhan inventori akan habis disewa sebelum raya,” katanya.

Katanya, saban tahun, tempahan meningkat secara mendadak pada minggu terakhir Ramadan.

Terdahulu, Suraidah memberitahu, koleksi pakaian sedia dipakai (RTW) 2025 ditambah lebih 50 peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 100 helai adalah sentuhan pereka dan jenama tempatan seperti Innai Red, Nurita Harith, Fiziwoo dan lain-lain.

“Antara maklum balas positif pelanggan ialah dari segi penjimatan kerana tidak perlu membeli baju baharu setiap tahun, sebaliknya hanya menyewa jenama mewah pada harga berpatutan.

“Selain itu, cara ini disifatkan lebih mudah dan praktikal kerana pelanggan tidak perlu menyimpan baju raya,” katanya yang menawarkan penghantaran ke seluruh Malaysia di samping mempunyai kedai di Tamarind Square, Cyberjaya.

Nurita Harith, Fiziwoo jadi pilihan

Setiap tahun, jenama seperti Innai Red, Nurita Harith dan Fiziwoo menjadi pilihan utama pelanggan kerana rekaannya yang eksklusif, potongan elegan serta penggunaan fabrik berkualiti tinggi.

Selain jenama itu, antara yang menduduki senarai top 5 kali ini adalah Fuzana Mokhtaza dan Teruntum Putih.

Suraidah berkata, peningkatan permintaan terhadap jenama itu sekali gus membuktikan yang pelanggan semakin menghargai fesyen berkualiti dan eksklusif.

“Jenama-jenama ini dikenali dengan gabungan sentuhan moden dan klasik, lantas dapat menghasilkan gaya mewah tetapi sopan, menjadikannya pilihan ideal untuk Aidilfitri.

“Harga sewaan pula bermula daripada RM45 hingga RM150 untuk tiga hari, bergantung kepada jenama, jenis pakaian dan tahap eksklusiviti rekaan,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, kebanyakan pelanggan menyewa antara dua hingga tiga helai pakaian.

Tetapi ada juga yang menyewa lebih daripada empat helai bagi menghadiri pelbagai majlis sepanjang Syawal seperti rumah terbuka, majlis keluarga dan sesi fotografi.

“Menariknya, pelanggan kami adalah yang berulang kerana mereka melihat penyewaan sebagai alternatif lebih praktikal, fleksibel dan berbaloi berbanding membeli pakaian baharu.

“Selain itu, kami juga memiliki pelanggan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Korea, China dan Australia yang untuk menyewa pakaian bagi menghadiri majlis rasmi dan acara khas di Malaysia,” katanya yang memiliki lebih 8,000 pelanggan sejak ditubuhkan pada 2022.

Ilham daripada pengalaman peribadi

Menceritakan latar belakangnya, Suraidah merupakan suri rumah tanpa pengalaman dalam industri fesyen atau perniagaan.

Idea untuk menyewa baju raya itu datang daripada pengalaman peribadinya yang sering berdepan dilema membeli pakaian untuk acara tertentu.

“Sebenarnya, ramai wanita menghadapi masalah sama iaitu ingin bergaya dengan busana cantik dan berkualiti, tetapi tidak mahu berbelanja besar untuk sesuatu yang hanya dipakai sekali dua sahaja.

“Sebelum ini, pilihan yang ada hanyalah dengan membeli baju baharu atau memakai semula pakaian lama.

“Saya tergerak mahu menyewakan baju raya atas permintaan pelanggan WRF yang kerap bertanya, lantas menyedarkan saya yang sebenarnya ramai berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu jika ada pilihan sesuai,” katanya.

Wanita ini membina WRF dari bawah secara bootstrapping, dengan visi memberikan lebih banyak pilihan kepada kaum hawa untuk bergaya secara bijak dan bertanggungjawab.

“Saya memulakan perniagaan ini kerana percaya fesyen boleh menjadi lebih mampan, mampu milik, dan fleksibel tanpa perlu bergantung kepada pembelian yang membazir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN