PETALING JAYA: Sebanyak 367 laporan kebakaran terbuka direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tempoh 24 jam sejak kelmarin hingga semalam susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Berdasarkan data Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan, kebakaran melibatkan pelbagai Kawasan termasuk belukar, ladang serta pembakaran sampah haram yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada insiden tersebut.
Setakat hari ini, sebanyak 1,022.43 hektar hutan di 10 lokasi dilaporkan masih dalam operasi pemadaman termasuk dua di Pahang iaitu di hutan di Kampung Jemeri, Kuala Rompin dan ladang Agropolitan Nenasi serta tanah gambut di Kampung Kuala Tatau, Sarawak.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 367 insiden kebakaran terbuka diterima pihaknya dalam 24 jam ini di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu membabitkan 63 di Kedah, Johor (56); Kelantan (53); Terengganu (27); Selangor (25), Melaka (22) dan Sarawak (20).
“Sebanyak 19 insiden dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dan Sabah, Perak (17), 15 (Perlis), Negeri Sembilan (14), Pahang (13), Kuala Lumpur (3) dan satu kejadian kebakaran di Labuan.
“Kebanyakan kes yang diterima akibat pembakaran terbuka disebabkan cuaca panas sehingga mencetuskan kebakaran di kawasan-kawasan terlibat.
“Bagaimanapun, trend kebakaran semalam menunjukkan penurunan berbanding tiga hari sebelumnya iaitu 439 kes pada Isnin, Selasa (451) manakala Rabu iaitu 415 kes namun pihak bomba sentiasa dalam keadaan bersiap-siaga dalam memastikan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya,”
“Selain itu, setakat hari ini, sebanyak 10 kawasan dilaporkan masih terbakar membabitkan lima kebakaran hutan, dua kawasan gambut dan ladang, belukar serta sampah masing-masing satu kejadian yang membabitkan 1,022.43 hektar,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, antara lokasi yang masih terbakar adalah di ladang Agripolitan Nenasi, Pahang membabitkan 516.4 hektar, hutan di Kuala Rompin (259.86) dan kawasan gambut di Kampung Kuala Tatau, Sarawak.
“Kebakaran turut dikesan berlaku di Johor iaitu Penggerang (11 hektar), Muar (3.65) dan belukar di Punggai (4 hektar), tiga di Pahang iaitu hutang belakang Lynas (7.32 hektar), Kampung Bukit Palas (14.19 hektar) dan Gebeng (0.01 hektar) serta gambut di Kampung Tanjung Agas, Negeri Sembilan (6 hektar).
” JBPM juga telah menggerakkan aset dan anggota secara maksimum bagi memastikan setiap insiden dapat ditangani dengan segera bagi mengelakkan kebakaran menjadi lebih serius,” katanya.
Nor Hisham berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 14,571 insiden kebakaran terbuka direkodkan JBPM bermula 1 Mac hingga semalam.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan 11,316 kebakaran belukar; tapak pelupusan sampah (1,655 kes); hutan (752 kes); kebun kecil (563 kes); sawah padi (175 kes); ladang (81 kes); tapak pelupusan majlis (14), kawasan industri (10) dan tapak pembinaan (8).
Ujar beliau, daripada jumlah terbabit, sebanyak 246 lokasi hutan di 43 daerah dikesan membabitkan 3,255.96 hektar terbakar dalam tempoh terbabit.
“Kerjasama orang awam amat penting dalam membantu mengurangkan kes ini. Laporkan segera kepada pihak bomba sekiranya terdapat sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau tanda-tanda kebakaran,” ujarnya.
Selalu lalu, akhbar ini melaporkan suhu panas dan gelombang haba yang melanda Semenanjung Malaysia dengan suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah celcius merupakan faktor Utama yang meningkatkan kes kebakaran sejak beberapa hari lalu.
Dalam tempoh dua hari, sebanyak 896 kes direkodkan JBPM di 39 daerah seluruh negara termasuk tiga kebakaran besar sehingga kini masih dipadam sebelumnya.
Nor Hisham dilaporkan berkata, pihaknya berdepan tekanan operasi yang tinggi apabila terpaksa mengendalikan purata lebih 400 kes kebakaran setiap hari khususnya melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar dan Kawasan ladang sejak dua tahun kebelakangan ini. – UTUSAN










