Menangis, enggan tidur jadi petanda anak ‘temu Ilahi'

Menangis, enggan tidur jadi petanda anak ‘temu Ilahi’

NUR Liah Asul menunjukkan gambar arwah anaknya yang disimpan ketika ditemui dekat Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN/MOHD. FARHAN DARWIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Menangis dan enggan tidur jadi petanda awal seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pulang ke pangkuan Maha Pencipta selepas rumah didudukinya hangus dijilat api di Kampung Seri Cheeding, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati, bapa kepada Allahyarham Muhammad Zahir Adha, Mohd. Zaid sanggup keluar ke kedai pada tengah malam untuk membeli bebola coklat kegemaran anak ketiganya itu sebelum kejadian kebakaran tersebut semata-mata mahu memujuknya.

Menurut ibu mangsa, Nur Liah Asul, 38, ketika suaminya keluar dia membawa Muhammad Zahir Adha masuk ke bilik dan tidur bersama anak bongsunya, Muhammad Zafrel Neil yang baru berusia satu bulan.

“Suami pergi kedai beli ‘jajan’ kegemaran anak semata-mata hendak memujuk sebab sebelum itu Muhammad Zahir Adha menangis dan tak mahu tidur. Tetapi saya temankan juga dia tidur dengan anak bongsu.

“Tak lama kemudian, kira-kira pukul 2.30 pagi, anak sulung, Muhammad Zayn Malique, 8, kejutkan saya, katanya terdengar bunyi letupan dari dalam rumah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd. Akmalrizal Radzi dalam satu kenyataan berkata, seorang kanak-kanak maut dalam kejadian kebakaran yang dipercayai berpunca daripada salah sebuah rumah sewa yang mengalami litar pintas sebelum api merebak ke rumah-rumah lain dalam deretan berkenaan.

Nur Liah berkata, susulan teriakan itu, dia terjaga dan melihat seluruh penjuru rumah dipenuhi asap hitam bersama api marak menyala.

“Saya masih berpantang, namun cuba gagahkan diri bawa anak-anak keluar. Saya dukung dan peluk bayi, keluar bersama anak sulung dan kedua. Saya ingat Muhammad Zahir Adha ikut belakang, sebab dia biasa tersedar bila keadaan bising dan riuh.

“Tetapi dia tidak keluar, api marak membakar dinding. Saya jerit minta tolong jiran-jiran selamatkan Muhammad Zahir Adha. Dia tidur dalam bilik utama. Api besar dan sangat marak, saya tidak mampu buat apa-apa. Arwah tidak sempat pun makan bebola coklat yang ayah dia belikan,” luahnya dalam keadaan teresak-esak.

Tambahnya, kediamannya dengan dua bilik itu disewa bersama keluarganya sejak lima tahun lalu.

Jenazah Allahyarham Muhammad Zahir Adha dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding, semalam.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah rumah sewa yang mengalami litar pintas sebelum api merebak ke rumah-rumah lain dalam deretan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN