Ambil upah simbah cat, dua pelajar kolej antara tiga ditahan - Utusan Malaysia

Ambil upah simbah cat, dua pelajar kolej antara tiga ditahan

MOHD. Alwi Zainal Abidin (kiri) menunjukkan kereta yang dirampas selepas menahan tiga remaja lelaki berusia 19 tahun di Pulau Pinang yang dipercayai terlibat dalam kegiatan khianat dengan api dan simbah cat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Demi bayaran antara RM500 hingga RM1,000, tiga remaja lelaki berusia 19 tahun sanggup merentas negeri dari Pulau Pinang ke Johor untuk melakukan perbuatan khianat dengan api dan menyimbah cat.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan yang dipercayai aktif sejak bulan lalu itu terbongkar selepas ketiga-tiga suspek diberkas polis dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di tiga lokasi di Pulau Pinang antara pukul 5 petang hingga 9 malam, 22 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dua daripada suspek yang ditahan merupakan pelajar kolej manakala seorang lagi bekerja sebagai penjaga stor.

“Suspek pertama ditahan di sebuah premis di Tanjong Bungah, diikuti tangkapan kedua di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam dan suspek ketiga di Taman Machang Bubok.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas tiga telefon bimbit, pakaian yang dipercayai digunakan ketika kejadian dan tiga kereta iaitu Proton X70, Nissan Teana dan Honda City,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kegiatan khianat di beberapa lokasi selepas menerima upah antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap tindakan daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Katanya, urusan antara suspek dan individu berkenaan hanya dijalankan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kejayaan menumpaskan kumpulan itu membolehkan polis menyelesaikan sembilan kes khianat membabitkan perbuatan membakar rumah dan menyimbah cat di lima negeri.

“Daripada jumlah itu, dua kes dilaporkan di Perak, tiga kes di Kedah, dua kes di Johor manakala masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Alwi berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Berdasarkan siasatan, terdapat empat lelaki terlibat dalam kegiatan itu dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang daripada mereka.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini