KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara wajar diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam siasatan kes dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.1 bilion ($350 juta) membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Naib Presiden NGO Profesional Muda, Dr. Azizi Azizan berkata, sebarang penjelasan rasmi yang bersesuaian mengenai status proses berkaitan akan membantu memperkukuh keyakinan masyarakat.
Menurut beliau, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan, manfaat dan pencapaian kerjasama strategik tersebut supaya perbincangan awam tidak hanya tertumpu kepada aspek siasatan, tetapi turut menilai keberkesanan dasar ekonomi negara.
“Malaysia memerlukan budaya politik yang tidak tergesa-gesa menghukum individu, tetapi juga tidak mengabaikan kepentingan ketelusan dalam pengurusan negara.
“Akhirnya, kematangan demokrasi tidak hanya diukur melalui keberanian kita membangkitkan persoalan, tetapi juga melalui kesediaan kita menghormati fakta, proses undang-undang dan hak semua pihak,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid berkata, SPRM dan AG perlu memaklumkan kepada umum mengenai hasil siasatan dan kebarangkalian tindakan undang-undang dalam dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.1 bilion membabitkan Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, Azizi berkata, isu ini perlu dinilai secara lebih matang dan menyeluruh, bukan sekadar melalui persaingan naratif politik atau kecenderungan terhadap mana-mana individu.

Katanya, persoalan utama dalam isu ini bukan semata-mata mengenai siapa yang terlibat, tetapi bagaimana sesuatu keputusan dasar yang melibatkan komitmen kewangan negara dinilai, dipantau dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Kita harus mengakui bahawa pelaburan dalam industri semikonduktor merupakan sebahagian daripada usaha penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteknologi tinggi.
“Namun, kepentingan strategik sesuatu pelaburan tidak seharusnya mengecualikannya daripada penelitian terhadap aspek tadbir urus, keberkesanan pelaksanaan dan pulangan kepada negara,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, semua pihak perlu menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang atau telah dijalankan oleh pihak berkuasa.
Katanya, siasatan bukan bukti kesalahan. Perbezaan pandangan terhadap sesuatu keputusan dasar juga tidak semestinya menunjukkan berlakunya salah laku.
Jelasnya, prinsip ini penting supaya penilaian terhadap mana-mana tokoh, termasuk Rafizi yang menerajui Kementerian Ekonomi ketika kerjasama tersebut dimeterai, tidak dipengaruhi oleh prasangka atau pertimbangan politik semata-mata.
Walau bagaimanapun, ketelusan institusi tetap merupakan tuntutan yang wajar dalam sebuah sistem demokrasi yang matang.
“Apabila sesuatu perkara melibatkan kepentingan awam dan mendapat perhatian masyarakat, penjelasan mengenai perkembangan proses siasatan, setakat yang dibenarkan undang-undang, boleh membantu mengurangkan spekulasi serta meningkatkan kefahaman rakyat.
“Pada hemat saya, terdapat perbezaan yang jelas antara mendesak seseorang dihukum dengan meminta institusi memberikan penjelasan.
“Yang pertama berisiko mendahului proses keadilan, manakala yang kedua merupakan sebahagian daripada amalan akauntabiliti dalam pentadbiran negara,” katanya.
Menurut beliau, golongan profesional muda sewajarnya membawa pendekatan politik yang lebih berasaskan fakta, dasar dan keberkesanan institusi.
“Kita tidak seharusnya menilai sesuatu isu hanya berdasarkan siapa yang berada dalam kerajaan atau siapa yang menjadi pengkritiknya.
“Sebaliknya, standard ketelusan dan integriti yang sama perlu diterapkan kepada semua pihak tanpa pengecualian,” katanya. – UTUSAN











