PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengintegrasikan klinik perubatan am swasta (GP) ke dalam rangkaian penjagaan kesihatan bagi menyelesaikan lambakan pesakit ‘hijau’ atau pesakit ringan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital kerajaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, peningkatan pesakit kategori bukan kecemasan merupakan faktor signifikan yang menyumbang kepada beban kerja di JKT hospital kerajaan.
Beliau berkata, peningkatan tersebut bukan sahaja menyebabkan petugas kesihatan menghadapi tekanan tambahan tetapi turut mengurangkan kecekapan dan menjejaskan keupayaan sistem untuk memberi tumpuan kepada kes kecemasan sebenar.
Katanya, jumlah kehadiran harian orang boleh mencecah beberapa ratus pesakit dengan sebahagian besar dikategorikan sebagai kes hijau terutama di hospital-hospital besar, perkara itu terus berlaku walaupun sudah banyak kempen kesedaran dilakukan.
“Walaupun sistem triage (proses saringan pantas) memastikan pesakit kategori merah dan kuning diberi keutamaan, jumlah kes bukan kecemasan yang tinggi menyebabkan kesesakan, mengalihkan perhatian kakitangan dan memperlahankan aliran pesakit secara keseluruhan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan tempoh menunggu yang lebih lama untuk penilaian, siasatan dan kemasukan wad serta meningkatkan tekanan operasi ke atas petugas kesihatan yang perlu mengendalikan kes mengancam nyawa, kes separa segera dan kes ringan secara serentak di bawah satu bumbung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr Thirunavukarasu berkata, pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah lambakan pesakit ‘hijau’ di JKT adalah menggabungkan abungan peningkatan kesedaran awam dan dasar yang dirancang dengan teliti.
“Integrasikan GP ke dalam rangkaian penjagaan segera melalui kontrak dan bayaran yang sesuai. Selain itu, mengurangkan kesesakan JKT dan memperkukuh penjagaan primer sebagai titik hubung pertama.
“Pendekatan ini akan melindungi perkhidmatan hospital, memendekkan tempoh menunggu bagi kecemasan sebenar, dan memberikan rawatan yang lebih cepat serta mudah diakses berhampiran tempat tinggal pesakit,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengakui realiti struktur sistem kesihatan negara yang lebih mendalam iaitu tenaga kerja di fasiliti awam yang masih tidak seimbang penagihannya dan terdapat kekurangan ketara di negeri serta kawasan bandar tertentu.
Katanya, infrastruktur fasiliti kesihatan awam juga masih belum berkembang secara sekata antara bandar dan luar bandar, sekali gus mengehadkan akses kepada penjagaan primer dan segera yang tepat pada masanya di luar bandar utama.
“Sekiranya isu-isu asas ini tidak ditangani secara sistematik termasuk perancangan tenaga kerja, pengagihan saksama, insentif perkhidmatan luar bandar, serta penaiktarafan infrastruktur maka masalah ini berkemungkinan berterusan.
“Usaha mengurangkan kesesakan tidak akan berjaya sekiranya sumber kekal tidak seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha ke arah Pembiayaan Kesihatan Nasional perlu dipercepatkan selaras dengan teras Kertas Putih Kesihatan mengenai pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama.
Katanya, saranan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk mewujudkan dana khusus sebagai tulang belakang pembiayaan reformasi juga perlu disegerakan.
“Matlamatnya adalah model pembelian perkhidmatan yang lebih strategik, di mana dana terkumpul digunakan oleh pembeli pusat untuk mengontrak penyedia awam dan swasta bagi menyediakan pakej perkhidmatan yang ditetapkan.
“Jika mekanisme pembelian ini diperluas dan diselaraskan dengan protokol triage serta rujukan yang jelas, klinik pengamal perubatan boleh menjadi lanjutan rasmi sistem penjagaan segera yang membantu menyerap kes kategori hijau dan mengurangkan tekanan ke atas hospital awam yang kekurangan dana, kakitangan serta sumber,” katanya. – UTUSAN











