Hanya Shafiq hadir mesyuarat Lembaga Disiplin Bersatu

Hanya Shafiq hadir mesyuarat Lembaga Disiplin Bersatu

SHAFIQ HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya seorang daripada 14 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenakan tindakan disiplin hadir di ibu pejabat parti itu, di sini semalam, bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Disiplin.

Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, berkata beliau dipanggil berhubung kenyataan dan kritikannya di media sosial yang didakwa tidak menghormati parti.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, sepanjang mesyuarat ber­langsung, Lembaga Disiplin seolah-olah tidak dapat memperincikan secara jelas asas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Shafiq turut mendakwa kebebasan bersuara seperti yang digariskan dalam Perlembaga­an Bersatu semakin terhakis apabila pemimpin parti tidak lagi bebas mengkritik secara terbuka.

“Lembaga Disiplin mendakwa saya mencemarkan imej Bersatu. Saya bertanya, apakah indikator atau analisis yang menunjukkan saya benar-benar mencemarkan nama parti atau sebenarnya parti sedang di­cemarkan oleh pihak tertentu?

“Ulasan dan kritikan saya lebih berbentuk analisis terhadap laporan media serta pandangan peribadi dan tidak sepatutnya dijadikan asas aduan disiplin.

“Mereka juga berpendapat bahawa mengkritik kepimpinan tertentu ibarat mengkritik parti itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat di pekarangan ibu pejabat Bersatu, semalam.

Rabu lalu, akhbar ini me­laporkan Shafiq bersama 13 lagi ahli Bersatu dipanggil menghadap Lembaga Disiplin susulan isu disiplin, termasuk dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan kepemimpinan Pre­siden parti itu.

Antara pemimpin yang dipanggil ialah dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yunus Nurdin, selain beberapa Ketua Bahagian termasuk Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd. Yunus Mohd. Yusof (Tapah); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (Jasin); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Mohd. Hassuandi Hamzah (Larut); Abdul Aziz Ismail (Dungun) serta Ramlan Meon (Tangga Batu).

Turut dipanggil Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.

Sementara itu, Shafiq berkata, antara hantaran yang dipersoalkan termasuk kritikannya terhadap Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta ke­nyataannya berkaitan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mengakui ada membuat beberapa kenyataan terbuka yang menyokong Pas, namun mempersoalkan me­ngapa sokongan terhadap rakan komponen dalam PN dijadikan isu disiplin.

“Antara aduan terhadap saya ialah apabila saya menyebut bahawa sekiranya PN berdepan masalah, adakah wajar untuk kita memperkukuh Pas?

“Kenyataan itu juga didakwa bertentangan dengan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Shafiq tidak menafikan krisis dalaman Bersatu semakin meruncing susulan kewujudan dua kelompok berbeza dalam parti berkenaan.

Menurutnya, sebahagian ahli memihak kepada Setiausaha Agung, manakala sebahagian lagi menyokong Timbalan Pre­siden.

“Sebahagiannya datang daripada UMNO dan sebahagian lagi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN