PETALING JAYA: Gerakan Reset yang diasaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan akan bersama Pas dalam menentukan hala tuju politiknya selepas ini.
Perkembangan itu susulan keputusan Pas semalam yang tidak lagi mahu meneruskan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, susulan pengumuman tersebut, Pas dan Bersatu dilihat tidak lagi boleh bekerjasama di bawah payung yang sama.
“Kongres Reset Sabtu ini akan umumkan hala tuju kami. Sudah tentu bersama Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas hala tuju Gerakan Reset selepas Pas mengumumkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Ditanya sama ada Pas dan Bersatu masih boleh bekerjasama selepas ini, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sukar untuk membayangkan kedua-dua parti itu terus berada di bawah payung politik yang sama.
Kelmarin, Pas mengumumkan keputusan untuk mengakhiri hubungan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik dengan Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa.
Gerakan Reset yang diasaskan Hamzah dijangka mengumumkan hala tuju politiknya pada satu kongres di Tanah Merah, Kelantan, Sabtu ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebelum ini dilaporkan mempelopori gerakan berkenaan selepas dipecat daripada Bersatu susulan krisis dalaman parti itu.
Kongres tersebut dijangka dihadiri kira-kira 1,000 peserta mewakili 153 bahagian, termasuk penyertaan 19 ahli Parlimen serta ribuan bekas ahli Bersatu yang menjadi pendukung Gerakan Reset di seluruh negara. – UTUSAN










