Bersatu fokus perkemas kerosakan yang disebabkan oleh Hamzah

Bersatu fokus perkemas kerosakan yang disebabkan oleh Hamzah

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan melayan sebarang isu di­timbulkan bekas Timbalan Pre­sidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, termasuk dakwaan ahli parti itu akan menyertai gerakan ‘reset’ yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Larut itu.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, fokus utama parti ketika ini adalah memperkemaskan semula organisasi menerusi penambahan ahli serta penubuhan cawangan baharu.

Katanya, Bersatu juga tidak mahu mencampuri urusan Hamzah, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh semula parti di semua peringkat.

“Saya tidak campur urusan dia (Hamzah). Kami sibuk de­ngan proses penambahan ahli-ahli baharu yang begitu memberangsangkan dan penubuhan cawangan-cawangan yang begitu banyak.

“Fokus kami adalah untuk memperkemaskan parti kami yang telah dirosakkan oleh bekas Timbalan Presiden itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 200,000 ahli Bersatu dijangka meninggalkan parti itu bagi menyertai perjuangan ‘reset’ diterajui Hamzah.

Bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dilaporkan berkata, penghijrahan besar-besaran itu berlaku susulan budaya dalaman parti yang semakin mengecewakan akar umbi.

Difahamkan, Hamzah bakal mengumumkan parti politik baharu pada pertengahan bulan depan.

Dalam pada itu, Ketua Pe­nerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan dakwaan ahli-ahli Bersatu akan menyertai gerakan ‘reset’ sebagai cubaan membina persepsi bahawa gerakan berkenaan mempunyai sokongan besar.

Beliau berkata, sekiranya benar gerakan itu mempunyai lebih 200,000 ahli seperti didakwa, kumpulan terbabit tidak seharusnya bergantung lagi kepada nama Bersatu atau mencari laluan untuk berada dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut Tun Faisal, dengan kekuatan sebesar itu, kumpulan berkenaan sepatutnya berani mengumumkan parti atau gabungan politik baharu secara terbuka sekiranya yakin mempunyai sokongan akar umbi sendiri.

“Jika benar mereka sudah mempunyai sokongan lebih 200,000 ahli, maka tidak sepatutnya lagi timbul isu ahli Bersatu akan menyertai mereka atau mereka perlu mencari laluan masuk ke dalam PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN