Samsuri, Tuan Ibrahim atau Muhyiddin kembali?

Samsuri, Tuan Ibrahim atau Muhyiddin kembali?

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kini menjadi tumpuan ramai apabila nama Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man disebut sebagai calon terkuat bagi menge­tuai gabungan itu.

Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Samsuri dilaporkan me­ngadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menguatkan desas-desus Menteri Besar Terengganu itu bakal menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN.

Namun kelmarin, kepe­mimpinan tertinggi Pas, termasuk Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengadakan pertemuan de­ngan Muhyiddin dipercayai bagi memuktamadkan pelantikan pengerusi baharu, selewat-lewatnya bulan ini.

Gambar pertemuan itu dikongsikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Facebook dengan kapsyen menegaskan kesepakatan untuk mengukuhkan PN.

Kehadiran Tuan Ibrahim dalam pertemuan itu juga menguatkan spekulasi beliau bakal mengetuai PN, sekali gus menunjukkan pengaruh ulama dalam menentukan hala tuju gabungan.

Tumpuan kini tertumpu kepada dua pemimpin tertinggi Pas itu sama ada Tuan Ibrahim atau Ahmad Samsuri akan menggantikan Muhyiddin untuk memimpin PN ke arah lebih kuat menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Datuk Hashim Jassin selaku Mursyidul Am Pas menyatakan Tuan Ibrahim sebagai calon pa­ling layak memimpin PN, sambil mengiktiraf kelayakan calon lain seperti Ahmad Samsuri.

Ahmad Samsuri, yang pernah menjadi Setiausaha Politik Presiden Pas dari 2008 hingga 2018, dilihat mempunyai ke­lebihan besar sebagai ‘orang kanan’ Presiden, selain membawa imej teknokrat yang mampu menarik sokongan pe­ngundi muda.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim pula mewakili suara ulama dan pengaruh dalam struktur ke­pimpinan Pas, menjadikannya calon kuat bagi jawatan ber­kenaan.

Pelantikan Pengerusi PN daripada Pas jika direalisasikan bakal menjadi sejarah baharu parti itu kerana sebelum ini Pas tidak pernah mengetuai mana-mana gabungan politik.

Sejarah menunjukkan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan PN sebelum ini, Pas selalu berada di belakang meskipun memiliki kekuatan signifikan dalam gabungan.

Namun, tidak mustahil berlaku plot twist sekiranya Pas memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk kekal menerajui PN.

Bagaimanapun, jika pelantikan dilakukan, jawatan Pe­ngerusi PN juga memberi petunjuk awal tentang calon Perdana Menteri pertama dari Pas dalam PRU16.

Setakat ini, perbincangan dan spekulasi mengenai pemimpin yang bakal menerajui PN terus menjadi polemik, dengan dua calon utama dari Pas, Ahmad Samsuri dan Tuan Ibrahim, manakala Bersatu menunggu keputusan rasmi daripada parti Islam itu untuk menentukan hala tuju gabu­ngan ke depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN