PETALING JAYA: Drama peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak berlaku kerana beliau mengesahkan akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bermula pada 14 Januari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, pada perhimpunan itu nanti beliau akan menjelaskan pendirian rasmi berhubung kedudukannya, sekali gus menamatkan spekulasi berkaitan isu peletakan semua jawatan disandangnya.
“Saya akan maklumkan keputusan dalam PAU minggu depan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara berkenaan oleh sebuah portal berita semalam.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, buat masa ini beliau memerlukan sedikit ruang untuk menyelesaikan beberapa agenda penting parti sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.
“Bagi saya selesaikan dahulu PAU, Pilihan Raya Kecil (PRK)Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dan pertemuan dengan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam tempoh ini,” katanya.
Exco Kerajaan Melaka itu kini berada di Sabah untuk penamaan calon PRK Kinabatangan dan Lamag selepas tiba dari Shanghai, China.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai langkah untuk meredakan spekulasi yang semakin kuat, khususnya berkaitan kemungkinan beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan ADUN Merlimau.
Drama peletakan jawatan Dr. Muhamad Akmal tercetus selepas beliau dilaporkan menyatakan hasrat untuk berbuat demikian susulan pendiriannya berhubung Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan ketetapan parti.
Kenyataan berkenaan dibuat semasa Konvensyen Pemuda UMNO minggu lalu dan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada DAP yang dilihat kurang senang dengan cadangan tersebut.
Menurut sumber rapat dengan UMNO, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO menerusi mesej WhatsApp ketika masih berada di Shanghai.
“Apabila orang Melayu telah bersuara, dan parti telah membuat keputusan. Sebagai orang yang terlalu sayangkan parti ini, aku akur dengan keputusan parti, tetapi apalah makna pemimpin jika kita tidak menghormati suara mereka?
“Maka dengan penuh rendah diri aku rasakan bahawa aku perlu ambil tanggungjawab keseluruhan untuk parti yang kita sayangi ini,” katanya.
Tidak terhenti di situ, Dr. Muhamad Akmal turut dilihat berdepan tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk segelintir pemimpin UMNO sendiri, berhubung pendiriannya yang konsisten memperjuangkan agenda penyatuan ummah.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung peletakan jawatan Ketua Pemuda parti itu, sama ada dalam parti mahupun kerajaan negeri.
“Saya sebagai Setiausaha Agung parti tidak berpandukan kepada media sosial atau cakap-cakap yang berlegar. Saya berpandukan kepada surat rasmi,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Beliau turut menasihatkan Dr. Muhamad Akmal agar tidak mudah berputus asa susulan perbezaan pandangan dalam parti, sambil menegaskan bahawa perkara itu adalah lumrah dalam sesebuah organisasi politik.
“Nasihat saya sebagai seorang abang kepada Akmal, yang juga bertanggungjawab meletakkan beliau di posisi tersebut, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Saya sendiri pernah menjadi Ketua Pemuda dan ada ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Namun, itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengundur diri atau melemahkan semangat kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi dalam organisasi,” katanya.









