KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (PSSC) mengesyorkan supaya tempoh tahanan 28 hari dan definisi kesalahan keselamatan, jenayah berkaitan keganasan serta jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) disemak.
Laporan jawatankuasa itu mengemukakan lapan cadangan pindaan terhadap SOSMA.
Pengerusi PSSC, William Leong berkata, akta itu bertujuan menangani kesalahan berkaitan keselamatan negara, jenayah terancang dan ancaman serius terhadap kepentingan awam serta kedaulatan negara.
“Bagaimanapun, sejak pelaksanaannya, akta ini menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan, ketelusan dan perlindungan hak asasi manusia, termasuk penahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, penolakan jaminan dan akses terhad kepada peguam,” katanya di Dewan Rakyat.
William berkata, tafsiran ‘kesalahan keselamatan’ di bawah Seksyen 3 terlalu luas dan tidak jelas, justeru berpotensi disalahgunakan dengan merujuk kes penahanan Maria Chin Abdullah pada 2016 serta Lim Kian Aik dan R. Nathan pada 2020.
Katanya, Seksyen 4 (5) SOSMA yang membenarkan tahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman turut menimbulkan risiko terhadap hak asasi manusia kerana ketiadaan pengawasan mahkamah.
“Keadaan ini mengehadkan akses kepada perwakilan guaman dan menimbulkan tekanan emosi yang besar kepada keluarga tahanan,” katanya.
William berkata, walaupun undang-undang membenarkan penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD), ia masih belum digunakan sebagai alternatif kepada tahanan penuh.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan garis masa lebih singkat untuk melaksanakan pindaan Akta 747 agar reformasi undang-undang dilakukan secara telus dan berperingkat.
“Kerajaan perlu memulihkan budi bicara kehakiman dalam hal tahanan reman, jaminan dan perbicaraan untuk mengekalkan keseimbangan antara keselamatan negara dan hak individu.
“Keputusan menggunakan EMD juga harus ditentukan oleh mahkamah bagi memastikan keadilan,” katanya. – UTUSAN










