KUALA LUMPUR: Pelantikan Kabinet Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Ahad lalu adalah hak sepenuhnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan campuran yang dibentuk melibatkan BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) adalah hasil perbincangan semua pihak selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah.
“GRS sendiri tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan bersendirian kerana hanya memenangi 29 kerusi manakala BN memperoleh enam kerusi.
“Persetujuan melalui perbincangan telah dicapai walaupun BN tidak bersama GRS ketika menghadapi pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Cyberjaya Conversations 2025 (CC2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi pasca pilihan raya, suasana dan situasi politik berubah dan semua pihak perlu memahami perkara ini.
“Mereka harus mengetahui hal ini dan mereka harus mengetahui jika di Putrajaya kita mempunyai kerajaan perpaduan maka atas semangat untuk mewujudkan kestabilan politik.
“Maka, BN bersama-sama dengan GRS telah mempersetujui bagi memulakan pembentukan kerajaan perpaduan diikuti oleh parti-parti yang lain termasuk lima daripada Bebas yang asalnya juga daripada GRS dan parti-parti yang lain,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pembentukan kerajaan campuran termasuk lima ADUN Bebas yang asalnya daripada GRS serta parti-parti lain adalah sebahagian daripada realiti politik negeri yang perlu diterima semua pihak bagi menghadapi situasi selepas pilihan raya.
“Apabila diminta untuk mengemukakan nama bagi pelantikan Kabinet Sabah, nama itu telah dikemukakan dan pelantikan serta angkat sumpah telah dibuat. Semua pihak perlu menerima hakikat ini demi kestabilan politik.
“Ini hakikat politik, jangan ada perasaan keangkuhan yang tinggi. Hakikat politik itu sangat-sangat pragmatik dan perlu diterima untuk menghadapi dan menjana supaya kestabilan politik menjadi keutamaan bagi mensejahterakan rakyat Sabah. Itulah semangat yang telah kami bina bersama-sama,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sekumpulan 12 ADUN kerajaan dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan melantik dua wakil rakyat PH dan BN dalam Kabinet Sabah.
Ia susulan Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Sabah kelmarin yang menyaksikan pelantikan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin dan ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar masing-masing sebagai menteri.
Kesemua 12 ADUN itu terdiri daripada lima wakil rakyat Bebas manakala bakinya daripada GRS dikatakan membuat pendirian itu melalui media sosial masing-masing. – UTUSAN







