PETALING JAYA: Pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu bukan sahaja mencerminkan kematangan politik negeri itu, malah menzahirkan kesepaduan serta komitmen kepimpinan dalam memastikan agenda pembangunan Sabah untuk lima tahun akan datang berjalan lancar.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, kejituan tersebut amat penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi menangani pelbagai isu kritikal.
Katanya, ia termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Pejabat Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Hajiji Noor atas pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam menangani pelbagai isu strategik termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Barisan kepimpinan baharu ini diyakini akan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan, sekali gus memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat dicapai dengan lebih berkesan,” katanya menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat dengan kepemimpinan Sabah dalam semangat Madani bagi memastikan pembangunan di negeri itu dapat dilaksana secara menyeluruh, inklusif dan mampan.
Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berada di Sabah pada petang esok bagi menghadiri Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Program itu turut memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk bertemu rakyat, selain mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri serta barisan Menteri Kabinet Sabah yang baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua peringkat kerajaan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat bersama kepimpinan Sabah dalam semangat Madani bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – UTUSAN







