PARLIMEN: 4,500 pegawai perubatan kontrak bakal diserap ke jawatan tetap pada 2026

PARLIMEN: 4,500 pegawai perubatan kontrak bakal diserap ke jawatan tetap pada 2026

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak pada tahun depan sebagai langkah mengatasi kekurangan tenaga kerja di fasiliti kesihatannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sudah menawarkan pelantikan tetap kepada 4,518 pegawai perubatan kontrak bagi pengisian di fasiliti kesihatan.

Selain itu, menurut beliau, kementerian juga melantik secara kontrak 3,290 pegawai perubatan bagi menampung kekosongan dan keperluan tambahan di fasiliti kesihatan KKM.

“Malah, KKM juga memudah cara tatacara pengambilan bagi mempercepatkan proses pengisian. Sebagai contoh, agensi pusat telah memberikan pengecualian proses temuduga bagi pengambilan tetap pegawai perubatan.

“Bagi jururawat, agensi pusat telah meluluskan pengecualian lantikan kontrak interim bagi jururawat lantikan baharu mulai tahun ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Prabakaran Parameswaran (PH-Batu) yang meminta kementerian menyatakan langkah strategik untuk mengatasi kekurangan doktor dan jururawat serta fasiliti lain di hospital kerajaan.

Bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat, Dzulkefly berkata, KKM menawarkan pelantikan tetap kepada 833 jururawat lantikan kontrak interim yang dilantik secara kontrak pada 2024.

Katanya, KKM juga membuat lantikan tetap kepada 613 jururawat menerusi pengambilan graduan program kejururawatan keluaran Institut Latihan KKM (ILKKM).

“Pada 2026, KKM menyasarkan untuk menawarkan pelantikan tetap jururawat kepada 935 graduan kejururawatan ILKKM.

“Ini bagi menampung keperluan tambahan jururawat di fasiliti kesihatan, KKM juga menawarkan pelantikan tetap kepada 408 graduan kejururawatan di peringkat diploma dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” jelasnya.

Beliau berkata, KKM turut menawarkan jawatan tetap Jururawat Gred U5 kepada 2,233 Jururawat Masyarakat (JM) Gred U1, U2 dan U3 lulusan peningkatan secara lantikan (PSL).

“Secara keseluruhannya, seramai 6,310 JM lulusan PSL telah dilantik ke jawatan jururawat dari tahun 2014 hingga 2025,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga merangka perancangan jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan pegawai perubatan dan jururawat.

“Antaranya, KKM telah meningkatkan pengambilan pelatih ILKKM di peringkat Diploma Kejururawatan kepada 3,343 pelatih pada 2025 daripada hanya 925 pelatih pada 2023. KKM juga secara berterusan berunding dengan agensi pusat bagi menambah perjawatan tetap selari dengan keperluan fasiliti kesihatan.

“Pada tahun lalu, KKM telah menerima sebanyak 16,332 jawatan baharu pelbagai skim perkhidmatan bagi perkembangan perkhidmatan fasiliti sedia ada, baharu dan dinaiktaraf,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN