Jangan jadikan masjid, surau 'gajah tidur' - Sultan Nazrin

Jangan jadikan masjid, surau ‘gajah tidur’ – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sebanyak 700 masjid dan 1,773 surau di Perak tidak boleh dibiarkan menjadi ‘gajah tidur’.

Sebaliknya, titah Baginda, masijd dan surau perlu diaktifkan sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah.

“Masjid perlu ditransformasi menjadi pusat kecemerlangan ummah yang berperanan lebih luas, merangkumi aspek pendidikan, sosial, ekonomi dan pembangunan sahsiah masyarakat.

“Masjid hendaklah ditransformasikan menjadi pusat kecemerlangan ummah, yang tidak lagi berimej sekadar tempat menunaikan solat dan mengadakan pengajian yang terbatas kepada subjek agama.

“Masjid sebaiknya hendaklah aktif menggalas peranan pendidikan, pengembangan pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi, kaunseling keluarga, aktiviti remaja, pembangunan sosial dan ekonomi serta berperanan sebagai pusat memupuk adab, jati diri dan perpaduan masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sultan Nazrin bertitah, masjid dan surau juga perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelbagai peringkat usia anggota kariah merangkumi kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut maktab dan universiti serta golongan belia.

“Ahli jawatankuasa masjid tidak boleh bersifat memekakkan telinga terhadap isu-isu yang ada kaitan langsung dengan kehidupan ummah dan ahli-ahli kariah juga tidak boleh bersifat memejamkan mata terhadap cabaran yang berlaku dalam persekitaran kehidupan ummah,” titah baginda.

Dalam isu berlainan, Sultan Nazrin telah memperkenankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Jabatan Penjara Perak merintis usaha bagi membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara.

Baginda bertitah, Jabatan Mufti juga telah diminta untuk mengkaji sama ada banduan yang dibebaskan dari penjara tergolong dalam mana-mana asnaf yang layak diberikan bantuan daripada dana zakat untuk memulakan penghidupan yang baharu.

“Beta telah menitahkan agar MAIPK memikirkan dana membiayai banduan yang dibebaskan untuk dibantu mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif pasca menjalani hukuman penjara.

“Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap oleh polis, melalui pengalaman perbicaraan oleh mahkamah dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara.

“Pada hemat beta, perlu ada entiti atau badan yang memberikan perhatian kepada banduan yang telah tamat menjalani hukuman.

“Beta berpendirian MAIPK boleh berperanan konstruktif untuk membantu banduan yang telah selesai menjalani hukuman untuk memulakan hidup baharu,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×