IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah krisis moral dan sosial di sekolah berlaku kerana ia dibiarkan berkembang tanpa pencegahan di peringkat awal.
Titah baginda, peningkatan kes buli, keganasan, rogol dan pembunuhan dalam kalangan remaja bawah umur adalah petanda kegagalan sistem pendidikan membentuk nilai kemanusiaan serta jiwa insani.
“Secara jujur dan ikhlas, kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah membesar hingga ke tahap kritikal bermula dengan sel kecil yang dibiarkan berkembang tanpa pencegahan berkesan di peringkat awal.
“Punca kelemahan ini bukan semata-mata disebabkan dasar, tetapi berpunca daripada sifat penafian yang berterusan serta keengganan untuk mengakui kesilapan. Ego yang tinggi, sukar menerima teguran dan enggan berubah turut menyumbang kepada kegagalan sistem sedia ada,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Sultan Nazrin, sikap kompromi dan kelemahan untuk bertindak tegas membetulkan kesilapan, menyuburkan budaya negatif yang terus merebak dalam masyarakat.
“Matlamat suci pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) berbentuk angka dan kuantitatif hingga mengorbankan aspek kualitatif yang membina insan berjiwa dan berakhlak,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang bijak daripada segi akademik, tetapi lebih utama adalah melahirkan insan yang beradab, berperikemanusiaan serta memiliki nilai moral yang tinggi.
“Apakah penekanan berlebihan terhadap KPI pencapaian gred peperiksaan telah menyebabkan falsafah asas pendidikan tersisih? Adakah kita terlalu tertumpu kepada ranking dan statistik hingga terkhilaf membina jiwa?,” baginda bertitah.
Baginda menambah, dalam keghairahan mengejar kecemerlangan akademik, elemen pembangunan rohani dan moral seolah-olah dikorbankan sehingga lahir generasi yang hilang arah dan nilai kemanusiaan. – UTUSAN










