KANGAR: Rayuan terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah yang dibuat bagi mengelakkan salah tanggapan antara kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974, bukan bermaksud untuk menidakkan hak negeri tersebut, sebaliknya hanya ingin mengelakkan pelanggaran hak asasi.
Seorang pengamal undang-undang, Muhamad Nazrith Naziman berkata, rayuan difailkan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum ini hanya melibatkan isu seperti dapatan mengenai salah guna kuasa dan pelanggaran hak asasi.
Beliau berkata, perkara itu juga amalan lazim dalam litigasi Perlembagaan bagi memastikan dapatan atau ‘precedent’ yang terhasil adalah sejajar dengan prinsip dapatan perundangan yang tepat dan tidak mencemarkan tafsiran undang-undang pada masa hadapan.
“Namun, dari perspektif rakyat Sabah, perlu difahami bahawa langkah tersebut boleh menimbulkan kebimbangan. Maka, kerajaan perlu memastikan proses rundingan diteruskan tanpa sebarang kelewatan bagi menghormati prinsip ‘pacta sunt servanda’ iaitu kewajipan yang dipersetujui mesti dipatuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan, rayuan terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah dibuat bagi mengelakkan salah tanggapan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974 dan tindakan di luar serta melanggar Perlembagaan.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional serta mengaitkan kesilapan besar kerajaan sejak 1974 seolah-olah menyalahkan kerajaan terdahulu.
Muhamad Nazrith yang juga merupakan Barrister-at-Law di London, United Kingdom (UK) berkata, daripada sudut teknikal undang-undang, kerajaan telah menyatakan secara terbuka mengiktiraf kewujudan hak kewangan Sabah dan hanya mencabar bahagian tertentu di dalam alasan penghakiman tersebut.
“Ini boleh dianggap selaras dengan prinsip ‘good faith’ serta pendekatan pentadbiran yang berhemah oleh kerajaan Persekutuan.
“Namun, kepercayaan rakyat, terutamanya di Sabah hanya dapat dipulihkan melalui tindakan yang konsisten, telus dan berasaskan rekod kewangan sebenar di mana rundingan perlu dimulakan segera, formula kewangan perlu diperincikan serta penyelesaian harus ditangani dengan komitmen jelas,” katanya.
Sementara itu, seorang peguam, Ammar Muhammad pula berkata, kegagalan kerajaan terdahulu dalam melakukan semakan berhubung bayaran hasil kepada Sabah bermula dari tahun 1974 merupakan satu pelanggaran dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, biar pun tempoh tunggakan itu mencecah puluhan tahun, namun kerajaan pimpinan Anwar dilihat serius bagi menyelesaikan perkara tersebut dan progresif dalam merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hak 40 peratus hasil itu kekal terhutang dan di sini dapat dilihat bagaimana kerajaan Persekutuan cuba menyelesaikan isu yang sekian lama ini secara bersungguh-sungguh dan berhemah.
“Inilah kali pertama Kerajaan Persekutuan benar-benar mengangkat semangat federalisme untuk memberikan keuntungan dan situasi menang-menang kepada negeri-negeri yang menyertai Persekutuan Malaysia khususnya Sabah,” katanya.-UTUSAN










