SHAH ALAM: Seorang ibu kepada tiga juruterbang tidak mensia-siakan usia emasnya dengan menganggap ia sebagai tempoh paling tenang untuk menyempurnakan perjalanan pengajian tertingginya.
Menurut graduan doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan itu, Dr. Rafiah Kassim, 73, pada usia itu dia mampu menamatkan pengajian dan penyelidikan berkaitan guru prasekolah hanya dalam tempoh tiga tahun.
“Saya memang berminat menyambung pengajian ketika muda, tetapi waktu itu terlalu banyak gangguan, sukar untuk memberikan tumpuan dan perhatian. Tumpuan ketika itu mengusaha dan mengendalikan sebuah prasekolah di Bangsar selama 27 tahun.
“Sekarang tenang sikit, saya tiada boyfriend, tak perlu jaga anak. Tiga anak semua lelaki, semua sudah habis belajar. Salah seorang merupakan graduan perakaunan. Tetapi akhirnya semua jadi juruterbang,” katanya ketika ditemui pada hari kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-103, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama 193 yang menerima ijazah doktor falsafah masing-masing daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga Pro Canselor UiTM yang berkenan mengurniakan ijazah kepada 709 graduan lain pada sidang kedua itu.
Seramai 32,630 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing sepanjang istiadat yang berlangsung semalam hingga 18 Disember termasuk 1,000 di Sabah dan 1,707 di Sarawak.
Di peringkat pengajian tersebut, beliau menulis tesis bertajuk ‘Pendekatan guru prasekolah Malaysia bagi memupuk kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak prasekolah untuk kesediaan bersekolah’.
Kata Rafiah, tujuannya menamatkan pengajian di peringkat itu bertujuan untuk kepuasan dirinya sendiri selain mahu terus bersikap produktif dan aktif dalam menimbal ilmu.
“Saya ada perancangan selepas ini, sebagai graduan saya juga mahu menyumbang sesuatu kepada UiTM walaupun mungkin menjadi insan pertama pada usia ini. Saya berharap untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.
“Cuma pesan saya, ibu bapa jangan lupa ajar anak-anak menghormati orang lain, kita semua sama. Sayangi kawan-kawan tak kisah kaya atau miskin, warna kulit atau agama, kena saling menghormati,” ujarnya. – UTUSAN










