PUTRAJAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di seluruh negara pagi semalam berjalan lancar biarpun terdapat beberapa negeri dan kawasan terjejas akibat bencana banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, perkara itu telah disahkan menerusi kemas kini daripada semua 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) setakat pukul 6 pagi semalam.
Beliau berkata, setakat pagi semalam, tiada calon SPM 2025 terjejas dan peperiksaan itu berjalan seperti yang dijadualkan.
“Tahun ini, kita ada seramai 413,372 calon meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Secara keseluruhan, seramai 358,817 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya ketika meninjau peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1), di sini semalam.
Menurut beliau, SPM 2025 ini turut disertai 8,051 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Sekolah Perantis Tentera.
Turut serta calon daripada sekolah menengah agama negeri pula berjumlah 6,676 orang, manakala sekolah swasta berdaftar dengan KPM menyumbang 13,836 calon.
“Turut menduduki peperiksaan adalah 23,741 calon persendirian, selain 2,251 calon dari sekolah menengah agama rakyat,” katanya.
Katanya, pelaksanaan peperiksaan SPM kini kembali ke jadual asal pada November dan Disember, seperti sesi persekolahan sebelum pandemik Covid-19.
Mohd. Azam berkata, dengan kembalinya SPM kepada jadual asal, ia pastinya membawa cabaran tersendiri kerana berhadapan risiko cuaca tidak menentu termasuk banjir.
Sementara itu, di Arau, Perlis, seramai 3,754 calon berjaya menduduki SPM 2025 di 36 pusat peperiksaan seluruh negeri ini, biarpun 393 calon daripada jumlah itu terjejas awal selepas rumah mereka dinaiki air serta masalah akses ke pusat peperiksaan.
Namun dengan bantuan tiga lori muatan tiga tan milik agensi kerajaan yang terlibat berjaya membawa calon-calon tersebut ke pusat peperiksaan.
Di Kubang Pasu, Kedah pula, seramai 17 calon yang sedang menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra berdepan detik cemas apabila air banjir tiba-tiba melimpah masuk ke dewan peperiksaan.
Bagaimanapun tindakan pantas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berjaya memindahkan kesemua calon ke SMK Tanjung Pauh bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan.
Manakala di Hulu Langat, Selangor, seramai enam guru SMK Dusun Nanding sanggup bermalam di sekolah secara sukarela bagi memastikan 62 calon SPM yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
Pengetuanya, Rozman Abdul Kadir berkata, keputusan itu dibuat secara mengejut selepas beliau menerima maklumat bahawa beberapa rumah pelajar dinaiki air menjelang peperiksaan kertas Bahasa Melayu hari ini.
Katanya, guru-guru berkenaan tampil menawarkan diri tanpa paksaan ketika beliau meminta bantuan menguruskan pelajar pada malam pertama Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi.
“Apabila saya tawarkan siapa yang boleh datang bermalam dan jaga murid, jawapan mereka cuma ‘kami sukarela’. Itu sangat melegakan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. – UTUSAN










