Baki pampasan kepada 19 pemilik tanah Kampung Jawa dimuktamad

Baki pampasan kepada 19 pemilik tanah Kampung Jawa dimuktamad

Pampasan WCE
lebuh raya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Baki 25 peratus pampasan kepada 19 pemilik tanah di sepanjang 150 meter Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang seperti yang diputuskan sebelum ini dimuktamadkan, hari ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bagaimanapun penduduk yang masih berkeras tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan itu perlu mengemukakan bantahan kepada mahkamah untuk diputuskan.

Menurutnya, setakat ini, penduduk atau pemilik tanah perlu mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh tujuh hari sehingga 10 November ini mengikut keputusan yang pernah dicapai dahulu dengan jumlah pampasan yang sudah diserahkan sebanyak RM9.8 juta.

“Penguatkuasaan perlu dilaksanakan yang mana kita beri masa tujuh hari untuk tindakan pengosongan dan sebarang apa juga bantahan kita syorkan dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

“Kepentingan awam perlu teruskan kerana mereka (pemaju) mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung perkara itu, hari ini.

Jelas Borhan, sehingga kini sebanyak 75 peratus pampasan kepada pemilik tanah sudah pun diselesaikan dan baki 25 peratus tidak akan dibayar apabila mereka mengosongkan kawasan tersebut kerana ini akan melalui penguatkuasaan memandangkan tawaran kerajaan telah ditolak..

Minggu lalu, Seksyen 3, Lebuhraya WCE yang merupakan sebahagian daripada tujuh seksyen bernilai RM7.07 bilion itu dilaporkan tergendala lebih 20 bulan apabila isu pembayaran pampasan kepada pemilik tanah di Kampung Jawa.

Bagaimanapun, terdapat 33 pemilik yang sebahagiannya sudah pun menerima pampasan masing-masing selepas proses undang-undang selesai pada 2023.

Borhan berkata, beliau turut meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi membantu pemilik mendapatkan rumah sementara melalui Skim Smart Sewa Selangor sehingga projek tersebut siap.

Jelasnya, susulan tempoh pengosongan yang baharu itu, beliau memaklumkan pembinaan WCE di kawasan berkenaan akan siap pada akhir tahun depan.

“Pembinaan di sana melibatkan jejambat lintasan dan beberapa sambungan lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×