PETALING JAYA: Kuasa besar Amerika Syarikat (AS) sering menjadikan pelaburan berskala besar dan penguasaan ekonomi sebagai alat dominasi sama seperti penjajahan moden yang menggunakan perjanjian ekonomi dan politik untuk mengikat negara kecil.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah menunjukkan bekas tanah jajahan terus menjadi sumber ekonomi kepada kuasa besar, meskipun kononnya telah mencapai kemerdekaan.
Beliau turut membangkitkan contoh hubungan Barat dengan Asia Tenggara termasuk kehadiran pemimpin kuasa besar dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 serta tindakan negara besar mencampuri urusan negara lain atas alasan geopolitik.
“Kita tidak boleh berlindung di belakang kuasa besar yang ganas lalu menganggap diri sama kuat. Itu ilusi yang membawa padah,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Abdul Hadi memuji dasar Pandang ke Timur era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berjaya membawa Malaysia ke kemuncak sebagai Harimau Asia tanpa tunduk kepada kuasa Barat.
Pada masa sama, beliau menegur sebarang kecenderungan Malaysia berpihak secara langsung kepada blok AS dalam persaingan ekonomi global yang didakwa membuka risiko rantau ini kembali menjadi medan proksi.
“Jangan ulang kesilapan sejarah menjadi alat kepada kuasa luar. Dasar luar mesti mempertahan kedaulatan, bukan tunduk kepada tekanan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu mengamalkan diplomasi seimbang serta bekerjasama dengan negara lain atas dasar hormat dan manfaat bersama, bukan demi agenda geopolitik kuasa besar.
Abdul Hadi juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan Malaysia sebagai ‘ular lidi’ yang bergantung kepada kuasa besar seperti AS sehingga berisiko menjadi mangsa kepentingan ekonomi dan geopolitik pihak luar.
Katanya, hubungan yang tidak seimbang hanya akan menguntungkan sebelah pihak yang mempunyai modal besar, manakala negara kecil seperti Malaysia akan kekal terperangkap dalam kedudukan yang lemah dan bergantung.
“Perumpamaan ular lidi dan anakonda boleh digambarkan sebagai jurang kuasa antara negara kecil dan kuasa besar di mana pelaburan berskala besar sering dijadikan alat dominasi oleh negara bermodal besar.
“Ular lidi memilih anakonda menjadi kawan kerana melihat badannya besar dan gagah, tetapi nafsunya rakus. Kalau anakonda tidak ada makanan, ular lidi di sebelahnya boleh menjadi makanannya,” katanya. – UTUSAN










