PETALING JAYA: Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kecewa dengan pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti itu.
Ia susulan serangan terbuka bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ke atas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit isu video intim yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.
Veteran yang juga antara Pengasas Bersatu, Tan Sri Rais Yatim berkata, pertama kali berlaku dalam sejarah parti itu apabila seorang pemimpin barisan depan membuat pendedahan peribadi mengenai rakan kepimpinan melalui media.
Beliau berkata, pergolakan yang berlaku meletakkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah dalam keadaan rumit.
Katanya, ia menjadi lebih rumit apabila isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan sokongan kepada Muhyiddin sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan kontroversi video intim yang dikaitkan dengan Mohamad Azmin.
Katanya, pendedahan terbuka Wan Saiful yang berdepan prosiding disiplin, mendahului Jawatankuasa Disiplin parti, mengundang persepsi negatif terhadap Bersatu secara keseluruhannya.
“Ia pertama kali seorang pemimpin barisan depan Bersatu buat singkapan peribadi dari hal diri orang lain di media secara terbuka sebelum berjalannya proses disiplin.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentu sekali dalam keadaan rumit. Terbaiknya adalah Wan Saiful bersabar dan lalui dahulu proses disiplin parti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Rais berkata, kenyataan Wan Saiful tidak membawa keuntungan politik kepada dirinya mahupun parti, sebaliknya hanya bersifat untuk mempertahankan diri.
“Daripada sudut kepentingan atau faedah, Wan Saiful tidak dapat keuntungan atau markah tinggi dari singkapannya ini. Tinggal lagi perbuatannya itu mungkin hanya memuaskan dirinya sendiri.
“Itu bukan perjuangan. Itu hanya hela-bela diri beliau sendiri. Lainlah jika Jawatankuasa Disiplin parti telah membuat sesuatu keputusan tentang perlakuan Wan Saiful,” katanya.
Seorang lagi veteran dan juga antara pengasas Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof pula berkata, tindakan Wan Saiful ibarat ‘racun’ dalam parti dan benar-benar memecahkan Bersatu.
“Tindakan Wan Saiful ini ibarat ‘racun’ dalam parti, benar-benar memecahkan Bersatu. Kedua-dua pemimpin itu perlu segera duduk berbincang sebelum keadaan terus merebak ke peringkat akar umbi. Penerangan jelas sangat perlu pada waktu kini,” katanya. – UTUSAN










