PETALING JAYA: Aplikasi navigasi TuJu sedang dipulihkan dan ditambah baik bagi menampung pertambahan pengguna susulan gangguan teknikal yang dialami aplikasi berkenaan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan berkata, pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB) sedang menumpukan usaha mengenal pasti punca gangguan dan memulihkan kestabilan sistem.
Katanya, jumlah pengguna aplikasi itu meningkat ketara selepas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” katanya.
LLM berkata, TuJu dibangunkan PCSB dengan kerjasama pihaknya sebagai aplikasi navigasi lebuh raya dan mula diperkenalkan pada 26 November 2025.
Katanya, TuJu menyediakan maklumat perjalanan dan keadaan trafik serta kemudahan dan bantuan kecemasan untuk membantu pengguna sepanjang berada di lebuh raya.
“LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan. LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan.
“Aspek keselamatan dan tadbir urus data turut diberi perhatian dalam kerjasama itu sejajar dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber serta kedaulatan digital negara,” katanya.
Menurut LLM, pengguna yang mempunyai aduan atau maklum balas mengenai aplikasi TuJu boleh menyalurkannya melalui e-mel kepada [email protected].
“LLM menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius. Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu,” jelasnya. – UTUSAN











