KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melihat keupayaan peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dan integrasi antara negara ASEAN yang mampu memperkukuh pertumbuhan ekonomi serantau.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, IMF turut yakin dengan potensi ASEAN sebagai rantau yang sedang berkembang pesat.
“Daripada maklum balas yang kita dapat daripada IMF, ASEAN adalah satu rantau yang ada banyak potensi dan telah berkembang dengan baik,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Mesyuarat dua hala antara Anwar dan Georgieva itu berlangsung selama kira-kira 25 minit.
Menurut Amir Hamzah, hubungan yang erat dan integrasi serantau yang kukuh diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta rantau ini secara keseluruhan.
“Kalau hubungan itu lebih baik, lebih integrasi, Insya-Allah ekonomi kita akan berkembang dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bahawa IMF mengakui tahap integrasi antarabangsa dan kerjasama serantau ASEAN yang mempunyai potensi besar untuk diperkukuh.
“Memang IMF akui dari segi integrasi antarabangsa kita, integrasi bersama kita ada banyak potensi untuk kita tambahkan integrasi ASEAN ini daripada apa kita ada pada masa ini untuk tingkatkannya dengan lebih banyak lagi Insya-Allah,” katanya.
IMF sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan global pada 3.2 peratus tahun ini dan 3.1 peratus pada 2026, manakala ASEAN dijangka berkembang 4.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.
Dana antarabangsa itu pernah berkata, pengurangan halangan bukan tarif dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN sebanyak 4.3 peratus dalam jangka masa panjang.
Katanya, peningkatan itu bersamaan dengan menambah lebih sepertiga KDNK semasa Malaysia kepada blok itu dan mewujudkan kira-kira empat juta pekerjaan baharu sekiranya digabungkan dengan dasar pasaran buruh lebih efektif. – UTUSAN










