Pengeluaran minyak sawit diunjur naik kepada 20.3 juta tan

Pengeluaran minyak sawit diunjur naik kepada 20.3 juta tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Securities menaikkan unjuran pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) Malaysia bagi 2026 sebanyak 2.5 peratus kepada 20.3 juta tan berbanding 19.8 juta tan sebelum ini, susulan pengeluaran yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang berkata, paras inventori yang tinggi dijangka terus menekan harga CPO dalam tempoh terdekat, sekali gus mengehadkan potensi kenaikannya.

Katanya, inventori minyak sawit Malaysia dijangka meningkat 2.6 peratus bulan ke bulan kepada 3.6 juta tan pada Oktober 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Potensi kenaikan harga CPO dalam tempoh terdekat dijangka terhad, namun fenomena El Niño meningkatkan risiko bekalan pada 2027.

“Kami menjangkakan harga CPO diniagakan antara RM4,400 hingga RM4,600 satu tan dalam tempoh terdekat, disokong oleh daya saing pengeluaran biodiesel yang lebih baik susulan kenaikan harga tenaga serta jangkaan bekalan lebih ketat pada 2027.

“Bagaimanapun, paras inventori yang tinggi berpotensi mengehadkan kenaikan harga.

“Kekurangan hujan, keadaan kering berpanjangan dan jerebu di beberapa kawasan di Indonesia serta Malaysia, ditambah dengan pengurangan penggunaan baja, boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit mulai 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, inventori minyak sawit Malaysia meningkat 24.5 peratus bulan ke bulan dan 48.8 peratus tahun ke tahun kepada 3.51 juta tan pada September 2026, melebihi unjuran CIMB Securities sebanyak 2.98 juta tan serta jangkaan konsensus antara 3.37 juta hingga 3.45 juta tan.

Peningkatan inventori yang lebih tinggi daripada jangkaan itu didorong pengeluaran yang lebih kukuh dan eksport yang lebih lemah.

Pengeluaran CPO meningkat 16.5 peratus bulan ke bulan dan 15.0 peratus tahun ke tahun kepada 2.12 juta tan, disokong faktor bermusim, peningkatan ketersediaan tenaga kerja serta keadaan cuaca yang menggalakkan sejak dua tahun lalu.

Mengulas prospek bekalan, beliau berkata, pasaran hadapan turut menunjukkan jangkaan bekalan yang lebih ketat, dengan kontrak niaga hadapan minyak sawit bagi April hingga Mei 2027 diniagakan pada premium melebihi RM494 satu tan berbanding kontrak Disember 2026.

“Gangguan penghantaran dari rantau Laut Hitam juga berpotensi memberikan sokongan tambahan kepada permintaan minyak sawit.

“Fenomena El Niño pada 2015/2016 menjadi rujukan penting berikutan kekurangan hujan yang teruk di Indonesia pada 2015 dan Malaysia pada awal 2016 menyumbang kepada penurunan pengeluaran minyak sawit serta pengurangan inventori pada separuh kedua 2016.

“Keadaan itu mencerminkan kesan kemarau terhadap hasil tanaman yang lazimnya berlaku dengan kelewatan,” katanya. 

CIMB Securities mengekalkan unjuran harga CPO bagi 2026 dan 2027 masing-masing pada RM4,450 dan RM4,550 satu tan, selain mengulangi penarafan ‘Overweight’ bagi sektor perladangan.

Pilihan utama firma itu dalam sektor berkenaan ialah IOI Corporation, Kuala Lumpur Kepong (KLK), Genting Plantations dan Hap Seng Plantations.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini