Menghubungkan pembangunan kemahiran dengan pekerjaan lebih baik

Menghubungkan pembangunan kemahiran dengan pekerjaan lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Nicholas Lam

PERUNTUKAN RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian, selain pembiayaan RM3 bilion oleh HRD Corp untuk menyokong tiga juta peluang latihan di bawah Belanjawan 2027, mencerminkan pelaburan besar dalam pembangunan tenaga kerja Malaysia. 

Cabaran seterusnya adalah memastikan peluang latihan ini berkait rapat dengan permintaan pasaran buruh serta membawa kepada pekerjaan yang bersesuaian dan kemajuan kerjaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026. Bagaimanapun, pertumbuhan guna tenaga tidak menggambarkan sejauh mana kemahiran individu dimanfaatkan secara berkesan. 

Tinjauan Pasaran Buruh DOSM bagi suku kedua 2026 mendapati kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan individu bekerja yang mempunyai pendidikan tertiari ialah 35.2 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memadankan kelayakan dengan pekerjaan yang bersesuaian.

Sementara itu, data platform Jobstreet by SEEK menunjukkan jumlah iklan pekerjaan di Jobstreet by SEEK, tidak termasuk iklan percuma, secara umumnya tidak berubah pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Aktiviti pengambilan pekerja semakin meningkat, namun pemadanan pekerjaan yang lebih baik bergantung pada keupayaan menghubungkan kemahiran yang dimiliki pekerja dengan kemahiran yang diperlukan majikan.

Keperluan tersebut juga terus berubah. Di Jobstreet, iklan pekerjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) merangkumi 2.9 peratus daripada keseluruhan iklan pekerjaan di Malaysia pada Ogos 2026, meningkat daripada 0.9 peratus pada Januari 2024. 

Iklan berkaitan AI turut merangkumi 14 peratus daripada iklan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), berbanding lima peratus pada 2024.

Pertumbuhan ini bukan sahaja melibatkan sektor teknologi, malah turut dilihat dalam industri seperti pengiklanan, seni dan media serta pemasaran dan komunikasi. 

Perkembangan ini menunjukkan bahawa kemahiran berkaitan AI semakin relevan dalam pelbagai jawatan dan industri.

Bagi pencari kerja, pembangunan kemahiran yang lebih bersasar boleh memberikan manfaat. 

Mereka boleh memulakannya dengan memahami keperluan jawatan yang ingin diceburi, mengenal pasti jurang kemahiran dan memilih program latihan yang dapat memenuhi keperluan tersebut. 

Mengenal pasti bagaimana pengalaman dan kemahiran sedia ada boleh digunakan dalam jawatan atau industri lain juga sama penting.

Majikan turut memainkan peranan dalam memastikan latihan membawa kepada hasil pekerjaan yang lebih baik. Ini termasuk melabur dalam pembangunan tenaga kerja sedia ada, menyelaraskan latihan dengan keperluan tempat kerja dan memberi peluang kepada pekerja untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari. 

Latihan lebih berkemungkinan memberikan nilai apabila pekerja dapat melihat kaitannya dengan tanggungjawab mereka serta peluang kemajuan kerjaya.

Usaha ini juga menunjukkan kepentingan amalan pengambilan pekerja yang mengiktiraf pengalaman relevan dan kemahiran boleh pindah. Calon tidak seharusnya diketepikan hanya kerana mereka tidak mempunyai kelayakan khusus atau berasal daripada industri berbeza. 

Penilaian yang lebih menyeluruh terhadap keupayaan calon boleh membantu majikan mendapatkan kumpulan bakat yang lebih luas.

Pemadanan pekerjaan yang lebih baik turut mempengaruhi pengalaman pekerja di tempat kerja. 

Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja 2026 Jobstreet by SEEK mendapati 68 peratus pekerja di Malaysia berasa pekerjaan mereka memberikan kepuasan, dengan tujuan dan makna dalam pekerjaan dikenal pasti sebagai pemacu utama kebahagiaan di tempat kerja, diikuti kepuasan terhadap tanggungjawab harian.

Oleh itu, membantu individu mendapatkan pekerjaan yang membolehkan mereka menyumbang, menggunakan kemahiran dan terus berkembang perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai kebolehpasaran tenaga kerja.

Kesimpulannya, hubungan antara pencari kerja, majikan dan penyedia latihan akan menentukan sejauh mana pelaburan dalam pembangunan kemahiran dapat memenuhi permintaan pasaran buruh dengan berkesan. 

Langkah pembangunan kemahiran di bawah Belanjawan 2027 membuka peluang untuk memperkukuh hubungan tersebut, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan bersesuaian dan kemajuan kerjaya, serta perniagaan yang berdepan perubahan keperluan kemahiran.

Penulis adalah Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini