PETALING JAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang kini memasuki hari ke-27 pelayaran terakhir menuju Semenanjung Gaza dijangka berdepan risiko besar termasuk ditahan, dihalang atau diserang rejim Zionis Israel.
Pendakwah Terengganu, Ustaz Mad Kecik yang turut menyertai flotila itu berkata, rakyat perlu menyedari bahawa sukarelawan flotilla berdepan ancaman nyata setiap kali menghampiri perairan Gaza kerana tentera laut Israel lazimnya bertindak ganas memintas kapal bantuan.
Menurutnya, flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan daripada lebih 40 negara itu berlepas dari pelabuhan di Eropah dan Afrika Utara sejak awal September dengan matlamat menembusi sekatan laut Israel yang dikenakan sejak lebih 17 tahun lalu.
Katanya, setakat ini kapal-kapal terbabit sudah menempuh pelbagai halangan termasuk ribut di Laut Mediterranean, kerosakan teknikal serta serangan dron terhadap sebuah kapal di perairan Tunisia.
“Walaupun berdepan cabaran, para peserta tetap meneruskan pelayaran dengan semangat solidariti antarabangsa. Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan mereka ditahan, dihalang atau diserang sebaik menghampiri Gaza,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Difahamkan, armada berkenaan kini sedang menghampiri kawasan perairan yang dikawal ketat tentera laut Israel.
Setakat kemas kini hari ke-27 pelayaran, peserta memaklumkan mereka akan berkumpul dengan armada di tengah laut tanpa singgah ke mana-mana negara.
Kapten kapal turut melahirkan keterujaan untuk bertemu lebih 50 kapal dengan kekuatan 44 warganegara yang menyertai misi tersebut.
Antara kapal yang sedang berlayar termasuk Handala serta beberapa bot pengiring yang membawa muatan makanan, ubat-ubatan dan bantuan logistik yang amat diperlukan penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk. – UTUSAN










