Stesen Janakuasa Pulau Indah bekal 40 peratus tenaga Lembah Klang

Stesen Janakuasa Pulau Indah bekal 40 peratus tenaga Lembah Klang

Stesen Janakuasa Pulau Indah
FADILLAH Yusof melihat pelan projek PIPP pada majlis perasmian stesen jana kuasa itu, dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira satu pertiga sumber tenaga di Lembah Klang dijana oleh Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) yang mula beroperasi pada 1 Mac lalu bagi kegunaan lebih lapan juta penduduk.

Loji berskala besar itu menggunakan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti sehingga 1,200 megawatt (MW) yang disalurkan ke grid bekalan tenaga nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penjanaan kuasa sehingga 1,200 MW menggunakan kaedah tersebut merupakan antara fasiliti tercanggih dan cekap di negara ini.

Katanya, ia selaras dengan pengoperasian PIPP penting sebagai sebahagian daripada tonggak utama daya tahan ekonomi dalam isu keselamatan tenaga bagi memastikan pertumbuhan negara di peringkat antarabangsa.

“Dengan pasaran global yang tidak menentu dan permintaan semakin meningkat, Malaysia tidak boleh berada di tahap sama. Kita mesti bersedia, berdaya tahan, saing dan menjadi destinasi pelaburan.

“Apabila negara mampu menjana dan diyakini mengurus tenaganya sendiri, ia bukan sahaja melindungi bekalan kuasa, malah turut melindungi kebebasan ekonomi, daya saing industri serta keyakinan masyarakat dan pelabur,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PIPP, hari ini.

Jelas Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu, dengan kemampuan sedemikian Malaysia berupaya menjamin bekalan tenaga yang stabil, berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang.

“Kestabilan tenaga adalah asas kepada daya tarikan pelaburan. Pelaburan langsung asing ke pusat data daripada sektor logistik hinggalah ke teknologi semuanya berpandukan kepada satu persoalan penting tersebut,” ujarnya.

PIPP merupakan projek usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO) masing-masing memegang kepentingan 75 dan 25 peratus. Ia sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Fadillah berkata, loji jana kuasa itu juga mencerminkan komitmen yang sama untuk berkembang, memodenkan dan melabur tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat dan alam sekitar.

“Melalui PIPP kita sedang meletakkan asas bagi peralihan tenaga yang inklusif, mencerminkan prinsip tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) mengangkat komuniti serta melindungi peluang pekerjaan serta alam sekitar, ke arah ekonomi rendah karbon,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN