KANGAR: Cadangan mengenakan caj RM2 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui Padang Besar dan Wang Kelian perlu segera dilaksanakan kerana mampu menjana pulangan kepada Perlis.
Rata-rata penduduk dan pengunjung tetap ke sempadan melihat langkah itu bukanlah beban sebaliknya peluang besar untuk negeri menikmati hasil limpahan ekonomi daripada puluhan ribu rakyat Malaysia yang keluar masuk ke Thailand setiap minggu.
Seorang pengunjung, Hasmira Hashim,41, berkata, di pintu sempadan sebelah Thailand, pengunjung membayar 20 bath atau sekitar RM5 semasa proses cop pasport setiap kali keluar dan masuk ke negara gajah putih itu.
Katanya, caj seperti itu sebenarnya sudah lama di Thailand dan apabila Perlis bercadang melaksanakannya di pintu sempadan di sini, ia merupakan langkah yang cukup baik bagi memberi pulangan hasil kepada negeri ini.
Beliau yang sering bercuti di Hatyai pada setiap bulan berkata, Perlis atau Malaysia perlu mengambil manfaat sebenar daripada kemasukkan pelancong ke Thailand yang mencecah puluhan ribu setiap kali musim cuti sekolah dan hujung minggu.
“Duit kita mengalir ke Thailand berbilion ringgit setiap tahun dan kita langsung tidak mendapat manfaat daripada itu. Cadangan caj itu, sangat baik meskipun agak rendah.
“RM2 bukanlah banyak, boleh sahaja kita bayar ketika menggunakan sempadan negeri ini untuk ke Thailand. Kita juga perlu melihat apa lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripada kemasukkan rakyat Malaysia ke Thailand itu.
“Bagi merealisasikan cadangan itu (caj RM2) memerlukan kelulusan daripada kerajaan Pusat dan diharap kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Perlis mencadangkan pelaksanaan caj RM2 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian sebagai langkah yang mampu menjana jutaan ringgit setahun hasil limpahan pelancong ke negeri itu.
Hasil caj RM2 atau RM5 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian jika dilaksanakan kelak bakal memberi pulangan semula kepada negeri ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, hasil berkenaan boleh digunakan untuk menaikkan taraf infrastruktur sempadan dan negeri ini bagi kemudahan pelancong.
Katanya, cadangan yang masih di peringkat kajian itu akan dikemukakan lagi dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini.
“Kita ingin laksanakan langkah ini yang modelnya diambil seperti pelaksanaan kutipan di sempadan Malaysia-Singapura di Johor Bahru,” katanya.-UTUSAN.










