PUTRAJAYA: Penyertaan kumpulan guru dalam sebarang program atau menghadiri mesyuarat luar akan dihadkan bagi memastikan tempoh masa keberadaan di sekolah mencukupi demi memastikan tugas hakiki lebih 400,00 guru tidak terbeban.
Langkah ini antara keperluan penting agar ia tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar di sekolah.
Bagi tujuan itu, semua bahagian di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan untuk menyemak semula program dan perancangan sedia ada membabitkan penyertaan guru-guru mengikuti program di luar sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, mana-mana program yang tidak berimpak tinggi perlu digugurkan atau digabungkan jika ada program atau kursus yang bertindih objektif dan keperluannya.
“Ia bukan soal merombak sepenuhnya, tetapi lebih kepada menyusun semula strategi. Untuk tahun ini, kita buat penyelarasan, program berbentuk ceremonial atau yang kurang memberi impak perlu dihentikan, manakala program berimpak besar diberi keutamaan.
“Bagi aktiviti luar, kita pastikan ia diagihkan kepada lebih ramai guru. Mulai tahun depan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Dasar dan Kurikulum) akan mengetuai Jawatankuasa Penyelarasan Semula supaya ada dasar kukuh berkaitan penglibatan guru dalam aktiviti luar.
“Tujuannya adalah memastikan keadilan kepada murid dan guru, serta mengurangkan beban kerja guru,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Mohd. Azam berkata, beliau juga mengarahkan skop latihan guru lebih tersusun dan dibahagikan mengikut bidang supaya tidak berlaku pertindihan kursus yang sama.
Katanya, fokus utama beliau adalah mahu melindungi masa instruksional guru, iaitu memastikan guru berada di sekolah dan di bilik darjah semaksimum mungkin.
“Beban guru memang berkait rapat dengan keberadaan mereka di sekolah. Jika perancangan tidak strategik, guru yang sama akan kerap keluar menghadiri kursus atau aktiviti luar.
“Ini membebankan guru tersebut, manakala rakan guru lain di sekolah pula terpaksa mengambil alih tugas mereka.
“Sebab itu saya minta supaya ada giliran. Jika seorang guru sudah keluar untuk satu kursus, kali berikutnya guru lain pula diberi peluang. Dengan cara ini, ilmu dapat dikongsi dengan lebih ramai guru, dan beban kerja dapat diagihkan secara adil,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar peranan guru dalam aktiviti luar seperti menjadi hakim, jurulatih atau pengerusi teknikal diagihkan.
Katanya, ia tidak sepatutnya seorang guru memegang terlalu banyak jawatan luar hingga membebankan diri dan rakan sejawat.
Dalam pada itu, Mohd. Azam memberitahu, KPM mengambil beberapa langkah bagi menangani kekurangan guru walaupun tidak dapat diatasi sepenuhnya berikutan faktor persaraan, peletakan jawatan atau masalah kesihatan.
Namun untuk menanganinya agar tidak berlaku kelompongan terlalu besar, KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mengambil beberapa langkah, antaranya melaksanakan temuduga sepanjang tahun. Calon layak ditempatkan dan selebihnya disimpan dalam ‘pool’ sementara menunggu kekosongan.
Kedua, sistem kluster, khususnya bagi Program Diploma Pascaiswazah Pendidikan (PDPP) dan Contrac of Service (CoS). Sebagai contoh, pengambilan guru Matematik bukan sahaja dilantik dalam kalangan graduan bidang Matematik tetapi graduan dari bidang seperti fizik atau kejuruteraan.
“Dengan adanya sistem kluster ini, pengambilan guru lebih lues dan pool yang besar. PDPP dan CoS ini juga menjadi strategi jangka pendek bagi pengambilan guru dan usaha menokhtahkan kekurangan guru.
“KPM pun akan adakan permuafakatan dengan kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Dekan bagi memastikan jumlah unjuran yang masih kosong untuk diambil tindakan menerusi kaedah PDPP dan CoS.
“KPM juga akan berkongsi bidang-bidang yang diperlukan kepada KPT dan universiti supaya bekalan calon dengan bidang yang diperlukan mencukupi,” katanya. – UTUSAN










