Slovenia negara EU pertama haramkan dagangan senjata dengan Israel

Slovenia negara EU pertama haramkan dagangan senjata dengan Israel

TENTERA Israel mengawal kedudukan berhampiran sempadan dengan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LJUBLJANA: Kerajaan Slovenia mengumumkan pengharaman sepenuhnya urus niaga senjata dengan Israel, menjadikannya negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang mengambil langkah demikian susulan konflik berterusan di Gaza.

Dalam kenyataan rasmi semalam, kerajaan Slovenia menegaskan larangan itu melibatkan import, eksport dan transit senjata serta peralatan ketenteraan ke dan dari Israel.

“Slovenia merupakan negara Eropah pertama yang mengharamkan sepenuhnya dagangan senjata dengan Israel,” kata kerajaan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, tindakan tersebut diambil secara bersendirian oleh Slovenia memandangkan EU gagal mencapai kata sepakat untuk mengambil langkah konkrit terhadap Israel, ekoran perbezaan pandangan dan ketidaksepakatan dalam kalangan anggotanya.

“Dalam keadaan perang yang begitu dahsyat di Gaza, apabila rakyat awam terbunuh kerana bantuan kemanusiaan dinafikan secara sistematik, maka menjadi tanggungjawab setiap negara bertanggungjawab untuk bertindak, meskipun terpaksa mendahului yang lain,” jelas kenyataan itu lagi.

Kerajaan Slovenia turut memaklumkan sejak Oktober 2023, pihaknya tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen eksport senjata dan peralatan ketenteraan ke Israel berikutan konflik yang semakin memburuk.

Pada awal Julai lalu, Slovenia turut mencipta sejarah sebagai negara EU pertama yang mengharamkan kemasukan dua menteri kanan Israel yang berhaluan pelampau kanan, dengan mengisytiharkan mereka sebagai ‘persona non grata’.

Kedua-dua menteri itu dituduh mengapi-apikan keganasan melampau dan melakukan pelanggaran serius terhadap hak asasi rakyat Palestin melalui kenyataan berunsur genosid yang dikeluarkan mereka.

Pada Jun lalu, Parlimen Slovenia meluluskan usul untuk mengiktiraf negara Palestin, langkah yang sama turut diambil oleh Ireland, Norway dan Sepanyol, merupakan tindakan yang didorong oleh kecaman terhadap pengeboman Israel ke atas Gaza susulan serangan Hamas ke atas wilayah Israel pada 7 Oktober 2023. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN