GENEVA: Rancangan Israel untuk membina ribuan rumah baharu antara penempatan haram Israel di Tebing Barat dan berhampiran Baitulmuqaddis Timur adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jika dilaksanakan, rancangan tersebut akan meletakkan penduduk Palestin berhampiran dengan risiko pengusiran secara paksa dan menganggapnya sebagai jenayah perang.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich pada Khamis berikrar untuk meneruskan projek penempatan haram yang sudah lama tertangguh, dengan menegaskan langkah itu akan ‘menguburkan’ idea mengiktiraf negara Palestin.
Jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB berkata, rancangan itu akan memecah Tebing Barat kepada wilayah terasing dan merupakan jenayah perang bagi kuasa penjajah untuk memindahkan penduduk awamnya sendiri ke wilayah yang diduduki.
Kira-kira 700,000 penduduk penempatan haram Israel tinggal dalam kalangan 2.7 juta rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Israel menjajah Baitulmuqaddis Timur pada 1980, langkah yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara, tetapi tidak pernah meluaskan kedaulatannya secara rasmi ke atas Tebing Barat.
Kebanyakan kuasa dunia menegaskan perluasan penempatan itu akan menjejaskan usaha penyelesaian dua negara dengan memecahkan wilayah yang diimpikan Palestin sebagai sebahagian daripada negara merdeka.- AGENSI










