WASHINGTON: Peguam kepada mogul rap, Sean ‘Diddy’ Combs atau P Diddy, mengesahkan pasukannya menghubungi pentadbiran Presiden Donald Trump bagi membincangkan kemungkinan pengampunan selepas Combs disabitkan kesalahan bulan lalu.
Anggota pasukan pembelaan Combs, Nicole Westmoreland berkata kepada CNN, perbincangan berhubung pengampunan sudah pun dimulakan.
Trump, dalam temu bual bersama Newsmax minggu lalu, memberi bayangan beliau tidak cenderung memberi pengampunan kepada Combs.
“Saya memang pernah berhubungan baik dengannya, dia seorang yang baik. Tapi ketika saya bertanding jawatan, dia sangat memusuhi saya dan itu menjadikan pengampunan lebih sukar dilakukan,” ujarnya.
Seorang pegawai Rumah Putih, ketika dihubungi CNN bagaimanapun enggan mengulas sama ada wujud atau tidak permohonan rasmi pengampunan.
Bulan lalu, juri mendapati Combs bersalah atas dua pertuduhan ringan iaitu membawa individu bagi tujuan pelacuran, namun membebaskannya daripada pertuduhan lebih berat iaitu konspirasi jenayah (RICO) dan pemerdagangan seks.
Beliau kini berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara, tetapi penganalisis menjangka hukuman yang bakal dijatuhkan mungkin lebih ringan.
Pendakwa raya sebelum ini menganggarkan Combs berkemungkinan dikenakan hukuman minimum antara 51 hingga 63 bulan penjara, namun dalam pemfailan terbaru mereka memberi isyarat tempoh hukuman mungkin jauh lebih tinggi.
Pendakwa turut menuduh Combs mengetuai sebuah kumpulan jenayah melibatkan pegawai-pegawai terdekatnya yang didakwa menggunakan ugutan, keganasan, buruh paksa, rasuah dan lain-lain jenayah bagi memaksa Casandra ‘Cassie’ Ventura dan seorang lagi wanita yang dikenal pasti sebagai ‘Jane’ untuk terlibat dalam aktiviti seks bersama pengiring lelaki yang dipengaruhi dadah.
16 September tahun lalu, pelantun lagu I’ll Be Missing You itu ditangkap berhubung dakwaan melakukan aktiviti pemerdagangan seks dan kegiatan haram bagi mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik entiti yang sah.
Apabila skandal tersebut menggemparkan industri muzik AS, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada Combs malah turut ‘mengheret’ beberapa nama selebriti berprofil tinggi kerana pernah menyertai parti anjurannya yang berunsurkan seksual iaitu ‘Freak-Off’.











