Mahkamah India arah ribuan anjing liar diusir dari New Delhi

Mahkamah India arah ribuan anjing liar diusir dari New Delhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Mahkamah Agung India mengarahkan pengusiran segera ribuan anjing liar dari bandar New Delhi berikutan serangan haiwan itu dan kadar rabies yang membimbangkan.

Keputusan pada Isnin itu mengarahkan pihak berkuasa tempatan menangkap semua anjing liar, mensteril, memvaksin dan memindahkan haiwan berkenaan ke pusat perlindungan baharu.

Kemudahan tersebut perlu siap dalam tempoh lapan minggu dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan tiada anjing dilepaskan semula ke jalanan.

Hakim JB Pardiwala menekankan tindakan segera diperlukan bagi menangani isu haiwan tersebut.

“Kanak-kanak mesti berasa selamat semasa bermain dan berbasikal. Warga emas mesti berasa selamat semasa berjalan,” katanya.

Isu pengawalan anjing liar kini menjadi perhatian utama di New Delhi dan bandar lain di India, dengan sebahagian penduduk melihatnya sebagai ancaman.

Keputusan mahkamah bagaimanapun mencetuskan protes dan bantahan sebahagian penduduk yang menyertai perarakan lilin di pusat bandar.

“Kami bersolidariti untuk mereka yang tidak boleh bersuara. Anjing tidak boleh bercakap untuk diri mereka sendiri dan tidak boleh dimasukkan ke pusat tahanan,” kata Nishima Bhagat, yang menyertai perarakan itu.

India mencatatkan kadar rabies tertinggi di dunia dengan kira-kira 5,700 kematian setahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan jumlah itu boleh mencecah 20,000.

Di Delhi, populasi anjing liar kini dianggarkan hampir sejuta berbanding 60,000 pada 2012, dengan serangan terhadap kanak-kanak dan warga emas sering menjadi berita utama.

Pardiwala menolak peraturan kawalan kelahiran haiwan (ABC) yang mewajibkan anjing disteril dikembalikan ke kawasan asal, menyifatkannya ‘tidak masuk akal’ dan tidak berkesan.

Beliau menegaskan, tiada pengecualian diberikan dan sesiapa yang menghalang pengusiran akan berdepan tindakan undang-undang.

Kumpulan perlindungan haiwan mengkritik perintah itu sebagai tidak praktikal dan kejam, dengan cadangan alternatif termasuk program sterilisasi, vaksinasi dan kesedaran awam secara besar-besaran.- THE GUARDIAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN