GAZA: Kerajaan Palestin di Gaza menuduh Israel sengaja mencetuskan kekacauan bagi menggagalkan pengagihan bantuan kemanusiaan, selepas sebahagian besar daripada 36 trak yang masuk ke wilayah itu dirompak.
Kenyataan itu berkata, trak yang membawa bantuan menjadi sasaran rompakan dan kecurian di tengah kekacauan keselamatan yang didakwa sengaja dicipta oleh pihak Israel.
Minggu lalu, Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran satu pertiga daripada penduduk Gaza tidak mendapat makanan selama beberapa hari berturut-turut akibat sekatan berterusan.
WFP turut melaporkan, satu daripada empat penduduk Palestin di Gaza kini berdepan keadaan seperti kebuluran, manakala 100,000 wanita dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang serius.
Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza sejak 18 tahun lalu dan menutup sepenuhnya semula lintasan sempadan pada 2 Mac, sekali gus menyekat kemasukan bantuan serta memburukkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Menurut pegawai Palestin, sekurang-kurangnya 600 trak bantuan diperlukan setiap hari bagi memenuhi keperluan 2.4 juta penduduk Gaza.- ANADOLU











