GAZA: Lapan lagi penduduk Palestin termasuk dua kanak-kanak, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang berpunca daripada sekatan Israel di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.
Kematian terbaharu itu sekali gus meningkatkan jumlah korban kepada 281 orang sejak tercetusnya krisis kemanusiaan di wilayah tersebut, lapor sumber tempatan semalam.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, daripada keseluruhan korban itu, 114 daripadanya adalah kanak-kanak.
“Kebuluran perlahan-lahan membunuh tubuh orang awam, merampas hak kehidupan kanak-kanak dan menukar khemah serta hospital sebagai adegan tragedi harian,” katanya dalam hantaran di X.
Israel membunuh hampir 62,300 penduduk Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.
Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan, yang kini berdepan kebuluran.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.- AGENSI










