SEGAMAT: Ribuan penduduk di daerah Segamat semalam dikejutkan dengan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 4.1 Magnitud pada pukul 6.13 pagi semalam.
Ekoran kejadian itu, penduduk yang merasai gegaran beberapa detik akibat gempa bumi itu ada antaranya bergegas keluar rumah untuk menyelamatkan diri, sambil ingin melihat apa yang sebenarnya berlaku.
Seorang penduduk di Taman Laksamana, di sini, Tan Boon Eng, 40, berkata, sebelum kejadian, dia sedang bersenam di halaman rumahnya sambil mengambil udara segar.
Katanya, tiba-tiba dia terasa gegaran kuat seperti rumah mahu roboh.
“Kerana takut, saya bergegas keluar rumah untuk lihat apa terjadi. Tetapi tiada apa berlaku selepas itu. Gegaran sudah berhenti. Ia jadi sekejap sahaja.
“Kemudian, rakan-rakan hantar mesej di WhatsApp beritahu mereka juga rasa gegaran dan mengatakan ia adalah gempa bumi,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi penduduk taman yang sama, Firdaus Zazali, 27, berkata, dia terdengar satu bunyi letupan kuat seperti benda jatuh dari langit dan merasa terkejut dengan kejadian itu sekitar pukul 6 pagi tadi.
“Sewaktu kejadian, saya baru selepas menunaikan solat Subuh dan bersiap untuk pergi kerja di Kampung Lubok Batu. Tiba-tiba saya terkejut bunyi letupan kuat seperti bunyi bom dan mercun bola. Saya ingat ada rumah terbakar dan meletup.
“Tidak lama selepas itu, saya rasa ada gegaran beberapa saat dan ia hilang. Waktu itu tidak terfikir ia adalah gempa bumi.
“Saya keluar ke halaman rumah kerana saya sangka berlaku letupan dari kebakaran di kawasan taman perumahan saya tetapi tidak apa-apa yang berlaku di luar rumah,” katanya.
Imam Surau Kampung Sanglang di sini, Saniman Abdul Samad, 63, pula berkata, ketika kejadian dia sedang mengimamkan solat Subuh bersama beberapa orang jemaah di surau berkenaan.
“Ketika kejadian, kami semua sedang solat Subuh dan berada di tahiyat akhir. Sebelum memberi salam, kami rasakan gegaran yang agak kuat.
“Selepas itu bunyi dentuman kuat. Kami semua terkejut dan kemudian nampak ‘skirting’ siling surau jatuh di dalam ruang solat.
“Mujur tidak mengenai jemaah ketika solat. Alhamdulillah Allah lindungi kami semua. Ini adalah pengalaman pertama saya merasa gempa bumi lebih-lebih lagi ketika sedang solat.
“Semua jemaah Alhamdulillah selamat tetapi masih lagi merasa terkejut dengan kejadian gegaran pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Sanglang, Buloh Kasap, pagi tadi.
Seorang penduduk di Kampung Tengah, Azman Alidin, 44, berkata, sewaktu kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu dia tidak berada di rumah kerana berada di tempat kerja.
“Saya juga dapat rasakan gegaran gempa bumi itu yang agak kuat sewaktu bekerja awal pagi semalam. Alhamdulillah selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan sewaktu berada di tempat kerja.
“Selepas bertugas saya pulang ke rumah kira-kira pukul 8 pagi dan terkejut melihat dinding rumah saya di ruang tamu telah retak.
“Saya berjalan ke ruangan dapur dan mendapati dinding di dapur juga di lantai mengalami keretakan. Saya pasti itu ia berpunca dari gegaran gempa bumi awal pagi Ahad,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Segamat turut dirasakan oleh penduduk di sekitar Pekan Gemas hingga ke Felda Bukit Jalor, Tampin.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) KTMB Gemas, Johani Jemain berkata, ketika kejadian dia masih berada di Masjid Jamek Gemas serta kemungkinan ada antara 50 jemaah yang lain merasai gegaran sama.
“Bagaimanapun, sebaik balik ke rumah, isteri memaklumkan terdengar bunyi letupan. Pada mulanya sangkaan adalah bunyi letupan latihan tentera di Kem Syed Sirajuddin Gemas seperti biasa yang kami alami, rupanya jiran kami, Segamat dilanda gempa bumi lemah.
“Ini pertama kali berlaku di sini dan sejak pagi tadi ramai yang berkongsikan kesan gegaran serta bunyi bom seperti latihan yang mereka rasai di dalam aplikasi kumpulan WhatsApp serta media sosial,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Gemas, Mohamad Rafidzal Zulkarnain pula berkata, kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu mengakibatkan gegaran kecil.
“Masa itu saya hendak pergi minum, tiba-tiba rasa macam bergegar sedikit. Sebelum ini, kita rasa gegaran sebab latihan tentera sahaja, ini pertama kali kita rasa gegaran sebab gempa,” katanya. – UTUSAN










