GAZA: Gaza dari pandangan udara kini menyerupai runtuhan sebuah tamadun purba yang baru ditemukan, dengan jalan yang musnah, bangunan runtuh dan sisa-sisa bandar lenyap seolah-olah ditelan masa.
Keadaan wilayah itu dirakamkan dari pandangan udara akhbar The Guardian pada Selasa, ketika diberi kebenaran menaiki pesawat tentera Jordan yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ini susulan pengumuman Israel minggu lalu, mereka menyambung semula penghantaran bantuan udara, selepas tekanan antarabangsa memuncak berikutan krisis kebuluran dan kekurangan bekalan perubatan yang semakin memburuk di wilayah tersebut.
Penerbangan itu membawa sekitar tiga tan bantuan, jumlah yang jauh daripada mencukupi untuk hampir dua juta penduduk Gaza.
Kurang dua tahun lalu, Gaza masih sebuah wilayah yang hidup, walaupun bergelut dengan cabaran ekoran sekatan Israel.
Kini, semuanya musnah dalam sekelip mata akibat kempen ketenteraan Israel yang menjadikan wilayah itu seakan pasca kiamat.
Penerbangan itu memberi peluang jarang untuk menyaksikan secara langsung dari udara keadaan sebenar wilayah yang hampir sepenuhnya ditutup daripada liputan media antarabangsa sejak 7 Oktober 2023, selepas Israel melancarkan serangan balas terhadap Hamas.
Sejak itu, Israel melarang wartawan asing memasuki Gaza, tindakan yang belum pernah berlaku dalam sejarah konflik moden, menjadikan Gaza antara zon perang yang paling terhad liputan di dunia.
Daripada ketinggian sekitar 600 meter, kelihatan jelas kawasan yang menjadi saksi kepada kemusnahan besar, termasuk lokasi pengeboman dan kepungan yang sebelum ini hanya dapat dilaporkan wartawan tempatan Palestin, sering kali dengan mempertaruhkan nyawa sendiri.
Sehingga kini, lebih 230 pengamal media Palestin dilaporkan terbunuh dalam konflik ini dan dikebumikan di tanah perkuburan yang digali secara tergesa-gesa, menandakan satu lagi episod hitam dalam sejarah keganasan berpanjangan di Gaza.










