GAZA: Seorang pemuda Palestin, Adel Fawzi Madi, 27, meninggal dunia di Hospital Nasser, selatan Gaza, minggu ini selepas menderita akibat kebuluran yang berpunca daripada sekataran berterusan Israel.
Dengan tubuh yang hanya tinggal kulit dan tulang, Adel merupakan antara mangsa terbaharu krisis kebuluran yang sedang melanda Gaza.
Keadaan hospital yang lumpuh serta tiada bekalan ubat, makanan dan air bersih menjadikan rawatan asas turut sukar diberikan.
Menurut sepupunya, Ismail Madi, Adel sebelum ini mempunyai berat badan sekitar 50 kilogram (kg), sebelum susut mendadak kepada hanya 15 kg.
“Dia menghidap hepatitis dan kesihatannya merosot kerana kekurangan zat makanan, sekatan serta tekanan emosi.
“Kami langsung tiada akses kepada ubat, makanan mahupun air bersih. Kami yakin jika lintasan dibuka dan rawatan tersebut, Adel masih boleh hidup,” katanya.
Keluarga mangsa berkata, mereka tidak pernah menyangka Adel yang sebelum ini sihat, akan tinggal rangka dan mati kebuluran dengan berat hanya 15 kg.
Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran krisis kelaparan di Gaza kini berada pada tahap kritikal, dengan satu pertiga penduduk tidak makan selama beberapa hari berturut-turut akibat sekatan berterusan rejim.
“Krisis sudah mencapai tahap terdesak yang belum pernah berlaku.
“Satu pertiga populasi mengalami beberapa hari berturut-turut tanpa menjamah sebarang makanan,” kata Pengarah Tindak Balas Kecemasan WFP, Ross Smith.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 154 rakyat Palestin, termasuk 89 kanak-kanak, meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.
Serangan berterusan Israel meragut lebih 60,200 nyawa rakyat Palestin dan melumpuhkan bekalan makanan serta infrastruktur penting di wilayah itu.- ANADOLU









