BEIJING: Kira-kira 31 penghuni sebuah rumah jagaan warga emas di pinggir ibu negara China maut akibat banjir yang melanda minggu ini, menurut pegawai tempatan.
Rakaman menunjukkan pasukan penyelamat meredah air paras dada bagi menyelamat mangsa terperangkap di kemudahan tersebut di daerah Miyun.
Difahamkan, kebanyakan mangsa yang maut tidak mampu bergerak.
Pihak berkuasa mengakui wujud kelemahan dalam perancangan kecemasan dan menyifatkan kejadian itu sebagai amaran terhadap kesiapsiagaan berdepan bencana.
Kira-kira 77 warga emas berada di rumah tersebut ketika banjir melanda, dengan 40 daripadanya terperangkap apabila paras air meningkat hampir dua meter.
Kemudahan yang terletak di Bandar Taishitun itu menempatkan warga emas yang mengalami kecacatan serius, berpendapatan rendah atau bergantung kepada bantuan sara hidup minimum.
“Sejak sekian lama, kawasan itu dianggap selama, maka ia tidak disenaraikan dalam pelan pemindahan mangsa banjir.
“Kejadian ini menunjukkan wujud kelemahan dalam perancangan kecemasan. Pemahaman terhadap cuaca ekstrem masih belum memadai, dan insiden ini menjadi satu pengajaran,” kata seorang pegawai dalam sidang media pada Khamis.
Secara keseluruhan, 44 kematian direkodkan akibat banjir di Beijing, ketika China berdepan musim panas ekstrem dan gelombang haba di timur negara.
Di wilayah berdekatan Hebei, 16 orang dilaporkan maut akibat hujan lebat, manakala di bandar Chengde, lapan terkorban dan 18 lagi masih hilang.
Banjir bukan perkara luar biasa di Beijing, dengan kejadian paling dahsyat direkodkan pada Julai 2012 apabila hujan lebat dalam sehari mengorbankan 79 nyawa.- BBC










