RIYADH: Sekurang-kurangnya 23 orang cedera apabila satu permainan taman hiburan di Arab Saudi patah ketika beroperasi, menyebabkan karusel itu terhempas dari ketinggian beberapa meter.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan permainan ‘360 Degrees’ itu terpatah dua, mengakibatkan struktur jatuh dan mencederakan pengunjung.
Saluran televisyen, Al Arabiya melaporkan, 23 orang cedera dalam insiden pada Rabu lalu, dengan empat daripadanya dilaporkan parah.
Taman hiburan di Taif, barat daya Arab Saudi itu ditutup dan siasatan sedang dijalankan, lapor Al Arabiya.
Arab Saudi kini giat membangunkan pelbagai tarikan hiburan dan rekreasi dalam usaha mempelbagaikan ekonomi yang sebelum ini terlalu bergantung kepada minyak.
Antara projek mega yang dibangunkan ialah Qiddiya berhampiran Riyadh, yang digambarkan sebagai ‘bandar hiburan’ dengan taman tema dan litar lumba sukan permotoran.










