PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan agar Kanada mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu penting bagi memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara serta memperluas pertukaran pelbagai hala yang lebih erat dan bermakna.
Perkara itu disampaikan Anwar kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menerusi panggilan telefon sempena lawatan rasminya ke Paris, Perancis.
“Saya berharap Kanada boleh mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia. Ini sejajar dengan prinsip keterbukaan dan hubungan akrab yang sedia terjalin antara negara-negara Komanwel,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala meliputi bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
“Saya menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada yang disifatkan sebagai simbol kerjasama kukuh antara kedua-dua negara dalam sektor tenaga, selain berpotensi memacu peralihan tenaga dan inisiatif hijau pada masa depan,” katanya.
Anwar berkata, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi iltizam dalam memperjuangkan perdagangan bebas dan inklusif berasaskan multilateralisme.
“Kami turut menekankan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada serta berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat bersama rantau dan masyarakat global,” katanya yang turut menjemput Carney mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Sementara itu, Anwar perkata, Malaysia beriltizam memperkukuh hubungan strategik dengan Perancis dalam usaha memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh keamanan sejagat dan pembangunan lestari dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks.
Kata beliau, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis menjadi asas penting dalam menghadapi pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi dunia masa kini.
“Dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks, Malaysia terus komited bekerjasama dengan rakan seperti Perancis untuk memperjuangkan prinsip multilateralisme, mengekalkan keamanan dan kestabilan serta membina masa depan yang lebih adil dan mampan untuk semua,” katanya selepas menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Kerajaan Perancis di Hôtel des Invalides.
Dalam pertemuan dengan warga Malaysia di Perancis, Perdana Menteri menyatakan, negara amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorakkan masa depan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing. – UTUSAN










