Bizmatch Mega PKNS 2025 himpun 1,500 usahawan

BizMatch Mega PKNS 2025 himpun 1,500 usahawan

BizMatch Mega PKNS 2025
MAHMUD Abbas bersama tetamu menyaksikan perasmian BizMatch Mega PKNS 2025 dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perluas program padanan perniagaan mereka, BizMatch Mega PKNS 2025 ke seluruh negeri ini dengan penglibatan seramai 1,500 usahawan.

Malah, ia sudah pun dimulakan sejak 2022 dengan penglibatan pelbagai agensi lain termasuk institusi kewangan dan keusahawanan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, sejak tahun 2021, PKNS telah melaksanakan beberapa siri program Padanan Perniagaan (Bizmatching) yang melibatkan usahawan di bawah bimbingannya.

“Bagi tahun ini, empat siri program BizMatch dirangka dengan pelbagai pengisian. Dua daripadanya sudah pun dilaksanakan iaitu BizMatch Networking 2025 pada 27 Februari lalu dan BizMatch Pasaran Jepun di World Expo Osaka pada 25 Jun lalu,” katanya pada Program Bizmatch Mega PKNS 2025, hari ini.

Tambahnya, selain penganjuran BizMatch Mega PKNS hari ini, siri terakhir dijadualkan berlangsung pada 28 November melalui program BizMatch @SelBiz 2025.

Jelas Mahmud, tahun ketiga penganjuran program padanan perniagaan itu menunjukkan kejayaan berterusan dalam membentuk jaringan yang menyokong perniagaan tempatan.

“Ia disokong melalui akses kepada sokongan pembiayaan, bimbingan keusahawanan dan peluang pasaran berskala besar.

“Dengan penglibatan 1,500 peserta, BizMatch Mega 2025 menjadi antara pemangkin utama dalam memacu ekosistem keusahawanan Selangor yang lebih inklusif,mampan serta kompetitif.

“Ia antara inisiatif strategik PKNS ke arah menyokong agenda pembangunan keusahawanan yang mana antara objektif utamanya membantu usahawan mendapatkan akses terus kepada kemudahan pembiayaan serta maklumat terkini mengenai program ditawarkan oleh agensi berkaitan di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN