JAKARTA: Kementerian Alam Sekitar menggesa kerajaan tempatan dan masyarakat supaya tidak menggunakan plastik semasa pengagihan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menterinya, Hanif Faisol Nurofiq berkata, gesaan itu selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan kerajaan mengenai Pelaksanaan Hari Raya Aidiladha 2025 Tanpa Sisa Plastik.
Beliau berkata, pengagihan daging korban sering menyumbang kepada peningkatan sisa plastik akibat penggunaan plastik pakai buang.
“Sambutan Aidiladha yang jatuh pada Jun dan bertepatan dengan Hari Alam Sekitar Sedunia bertemakan ‘Menamatkan Pencemaran Plastik’ adalah amat wajar untuk kita pelihara dengan meminimumkan sisa,” katanya.
Menerusi pekeliling yang ditandatangani pada 22 Mei itu, menteri menggesa kerajaan negeri untuk memastikan sambutan Aidiladha diraikan dengan meminimum sisa plastik, melalui usaha penyampaian maklumat secara meluas bagi mengurangkan penggunaan beg plastik pakai buang.
Hanif berkata, kementerian juga menggesa kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur pengurusan sisa di lokasi solat Aidiladha serta tempat pengagihan daging korban dengan lebih teratur.
Jika berkemampuan, beliau mencadangkan agar pasukan petugas dibentuk bagi menguruskan sisa plastik dan berperanan sebagai jawatankuasa kempen dalam usaha mengurangkan sisa semasa aktiviti Aidiladha.
“Kami menyeru agar pihak jawatankuasa pengagihan daging korban tidak menggunakan beg plastik atau menggalakkan orang ramai membawa bekas plastik guna semula sendiri semasa menerima daging,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan alternatif kepada beg plastik seperti daun pisang, daun jati, bekas anyaman atau bekas lain yang boleh digunakan semula atau terurai secara semula jadi serta tidak menghasilkan sisa plastik baharu.- ANTARA










