PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau bukan seorang diktator yang sewenang-wenangnya mengarahkan siasatan dan tindakan diambil ke atas mana-mana pemimpin atau individu tanpa melalui proses undang-undang.
Beliau menegaskan, bukan tanggungjawab seorang Perdana Menteri untuk menyiasat, mendakwa atau menghukum mana-mana pemimpin atau individu yang dikaitkan dengan rasuah.
Sebaliknya jelas beliau, ia perlu melalui proses undang-undang dengan siasatan dijalankan oleh pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sementara Peguam Negara menjalankan pendakwaan manakala hakim menjatuhkan hukuman.
“Saya tidak mahu memegang jawatan dalam kerajaan untuk melindungi pesalah. Perdana Menteri mesti mengambil tindakan tegas. Ini Perdana Menteri bukan diktator, saya ikut hukum dan perlu lalui proses. Saya tidak boleh tangkap begitu sahaja.
“Siasat kerja SPRM atau polis. Yang dakwa pula itu kerja Peguam Negara dan memberi hukuman itu kerja hakim. Perdana Menteri perlu berjaga supaya sistem itu berjalan.
“Bukan Perdana Menteri yang siasat, dakwa dan hukum. Itu diktator namanya. Itu pernah kita lalui dahulu, jangan minta saya ulangi sistem itu dan orang begitu dijaga sekarang,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
Perdana Menteri menjawab dakwaan bahawa pentadbirannya tidak mengambil tindakan tegas berhubung siasatan skandal rasuah pemimpin Sabah walaupun ada video dikaitkan dengan kes tersebut.
Perdana Menteri sebaliknya menjelaskan, sebarang dakwaan kes rasuah membabitkan pemimpin Sabah perlu disiasat dengan menyeluruh dan mengikut undang-undang.
Ini kerana, perkara itu timbul akibat percubaan pihak tertentu untuk memanaskan suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Katanya, isu itu juga menjadi sasaran kritikan kerana wujud tuduhan bahawa kerajaan cuba menutup perkara tersebut.
“Saya bertanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengenai video ini sehingga menimbulkan kekecohan. Saya sendiri melihatnya, secara zahir nampak seperti betul. Jadi saya tanya, apa sebenar masalahnya?
“SPRM menjawab, kita perlu mengikut undang-undang, video yang dipotong atau disunting sebegini belum tentu boleh dijadikan bukti sah di mahkamah. Lebih-lebih lagi dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sekarang,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, siasatan telah dijalankan SPRM, namun belum mempunyai keterangan yang mencukupi, menyebabkan sedikit kelewatan dalam siasatan.
Namun, ia menunjukkan bahawa siasatan yang teliti dan menyeluruh sedang dijalankan, katanya.
“Individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut hanya memberikan maklumat sedikit dan ada pula perbincangan dengan pihak pembangkang yang kemudian membangkitkan isu ini sehingga menghangatkan suasana,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan bertanggungjawab mempertahankan pihak yang memberi maklumat atau whistleblowing, namun, sekiranya mereka juga terlibat rasuah, maka tidak layak untuk memberi pendedahan.
“Cuba kita fikir secara logik, katakan ada seseorang yang menyamun atau mencuri berbilion ringgit, kemudian dia datang kepada polis atau SPRM dan berkata, ‘Saya akan beri kerjasama untuk mendakwa orang lain yang mencuri RM100.’
“Selepas itu, dia pula meminta perlindungan daripada kerajaan. Adakah wajar kita beri perlindungan begitu? Tidak, hal ini adalah undang-undang,” jelasnya.
Mengulas Sambutan Pesta Kaamatan oleh masyarakat Sabah, beliau berkata, ia gambaran semangat perpaduan dan hubungan erat dalam kalangan komuniti majmuk yang berbilang kaum.
Sambutan yang memasuki tahun ke-65 itu juga mencerminkan ketahanan, kekayaan dan warisan budaya masyarakat Sabah.
“Namun begitu, tidak semua benar-benar menghayati konsep perpaduan yang seharusnya menjadi tunjang utama dalam menjalin hubungan tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya. – UTUSAN










