LANGKAWI: Pengunjung sanggup berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) bagi menyaksikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25) yang berlangsung hingga hari ini (Sabtu).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada pengunjung yang memilih meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan dan berjalan jauh ke pameran berprestij itu berbanding meletakkan kenderaan di parkir berbayar yang disediakan penganjur.
Malah, terdapat pengunjung bersama keluarga dan rakan-rakan memilih untuk ‘berkelah’ di luar beralaskan tikar plastik serta kerusi bagi melihat pertunjukkan aeroangkasa oleh pesawat-pesawat dari dalam dan luar negara.
Ratusan pengunjung didapati mula memenuhi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) seawal 7 pagi semalam.
Di MIEC, selain replika pesawat, kapal dan peluru berpandu, pengunjung LIMA’25 tidak melepaskan peluang untuk mencuba serta bergambar dengan pelbagai senjata api buatan syarikat swasta dari Turkiye, Sarsilmaz Silah Sanayi AS.
Seorang pengunjung, Musa Ahmad, 70, dari Langkawi berkata, dia sudah mengujungi LIMA beberapa kali sejak pameran itu diadakan pada 2001 dan berasa bangga melihat penganjuran pameran berprestij itu diadakan di sini.
“Sejak awal LIMA memang saya sudah datang kerana saya memang berminat melihat pertunjukan di udara dan laut.
“Untuk LIMA’25 memang saya rasa ia dianjurkan sangat meriah, pelbagai teknologi ketenteraan dipamerkan memberi peluang kepada pengunjung mengenali dan menimba pengetahuan tentang aset ketenteraan,” katanya ketika ditemui, di sini.
Pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd Iqmal Azizan, 30, berkata, dia bersama rakan-rakan pertama kali hadir ke LIMA.
“Kami datang untuk bercuti, alang-alang singgah ke LIMA’25 untuk melihat pertunjukan aeroangkasa terutama daripada Russian Knights (pasukan elit aerobatik Russia). Kami memang teruja, sejak awal pagi sudah beratur untuk masuk.
“Kami tahu tentang LIMA’25 daripada akhbar dan portal berita, jadi memang sejak awal sudah merancang untuk ke sini,” katanya.- UTUSAN










