GAZA: Hamas mencadangkan pembebasan lebih ramai tebusan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza, susulan usaha memulihkan rundingan pada Sabtu.
Rundingan ini bermula hanya beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan operasi serangan besar-besaran terbaharu di wilayah tersebut.
Menurut seorang pegawai Palestin yang bercakap kepada BBC, Hamas bersetuju untuk membebaskan sembilan tebusan sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama 60 hari, serta pembebasan tahanan Palestin oleh Israel.
Cadangan baharu turut merangkumi kemasukan 400 trak bantuan kemanusiaan setiap hari ke Gaza serta pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan perubatan ke luar wilayah tersebut.
Sebagai balasan, Israel menuntut bukti para tebusan masih hidup, termasuk maklumat terperinci mengenai semua individu yang masih ditahan.
Pusingan baharu rundingan gencatan senjata diadakan di Doha bermula pada petang Sabtu dengan pengantaraan Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Israel masih belum memberi maklum balas rasmi terhadap cadangan tersebut namun sebelum rundingan, rejim itu menegaskan tidak akan menarik balik tenteranya dari Gaza atau bersetuju untuk menamatkan perang.
Difahamkan, perkara tersebut juga tidak termasuk dalam kandungan cadangan terbaharu Hamas.
OPERASI GIDEON’S CHARIOTS
Pada Sabtu, tentera Israel mengumumkan permulaan operasi ketenteraan baharu dinamakan Gideon’s Chariots yang disertai gelombang serangan udara paling dahsyat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut pasukan penyelamat, sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh sejak Khamis, termasuk di hospital dan kem pelarian di bahagian utara dan selatan Gaza.
Ribuan lagi terbunuh sejak Israel menyambung semula serangan udara pada 18 Mac, selepas gencatan senjata sementara selama dua bulan gagal dipertahankan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berikrar untuk meningkatkan operasi ketenteraan secara besar-besaran di Gaza, termasuk menduduki dan mengawal kawasan tertentu, mengusir penduduk Palestin ke bahagian selatan wilayah serta memusnahkan Hamas.
Wartawan tempatan, Ghada Al Qurd, yang membuat liputan dari Gaza memberitahu program Newshour BBC, kawasan utara dan timur dibedil hebat dengan serangan udara, tembakan artileri, dron dan letupan.
“Keadaan sangat menakutkan dan mengerikan,” katanya.
Beliau turut berkongsi keluarganya kini hanya mampu makan sekali sehari kerana kekurangan makanan dan kos hidup yang sudah terlampau tinggi.
Beliau berkata, Israel menggunakan makanan sebagai senjata, dakwaan yang turut disuarakan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Seorang pakar bedah plastik dari Britain, Dr. Victoria Rose yang bertugas di Hospital Nasser di Khan Younis memberitahu BBC Radio 4, pasukannya keletihan dan ramai kakitangan kehilangan berat badan secara mendadak.
“Kanak-kanak di sini sangat kurus. Gigi mereka juga sudah gugur lebih awal daripada biasa. Ada yang mengalami kecederaan melecur serius dan tahap kekurangan zat yang teruk. Mereka mudah dijangkiti kuman dan lambat sembuh,” katanya.
NORMA BAHARU PALING KEJAM
Netanyahu pada 5 Mei menyatakan Israel sedang bersiap untuk kemasukan ketenteraan intensif ke Gaza bagi menguasai wilayah tersebut, namun menangguhkannya sehingga Presiden AS, Donald Trump menamatkan lawatannya di Asia Barat.
Trump meninggalkan rantau itu pada Jumaat lalu.
Pada hari yang sama, penduduk di utara dan tengah Gaza diarah mengosongkan kediaman dan kem perlindungan yang disifatkan mustahil oleh pekerja bantuan memandangkan ribuan sudah kehilangan tempat tinggal beberapa kali sepanjang konflik.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mereka akan terus menjalankan operasi sehingga Hamas tidak lagi menjadi ancaman dan semua tebusan dibebaskan, sambil mendakwa menyerang lebih 150 sasaran berkaitan pengganas di seluruh Gaza dalam tempoh 24 jam sebelum Sabtu.
Serangan terbaharu pada Sabtu menyasarkan kawasan seperti Beit Lahiya dan kem pelarian Jabalia di utara serta bandar Khan Younis di selatan, menurut Kementerian Kesihatan dan pasukan pertahanan awam yang dikendalikan Hamas.
Agensi berita Reuters melaporkan, beribu-ribu tentera Israel termasuk anggota simpanan, mungkin akan memasuki Gaza dalam beberapa hari akan datang dengan puluhan kereta kebal rejim itu turut dilihat berbaris di sepanjang sempadan.
Serangan hebat itu menerima kecaman daripada PBB dan beberapa pemimpin Eropah.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini turut terkejut dan kecewa dengan operasi ketenteraan baharu Israel itu.
“Berapa ramai lagi nyawa rakyat Palestin akan dikorbankan akibat pengeboman, kebuluran atau ketiadaan rawatan perubatan?
“Kekejaman kini seakan sudah menjadi norma baharu di depan mata kita, menjadikan kekejaman yang tidak tertanggung itu kelihatan boleh diterima oleh sikap tidak peduli,” katanya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani menyeru agar gencatan senjata kekal dilaksanakan segera di Gaza.
Kementerian Luar Jerman pula memberi amaran operasi ketenteraan Israel berisiko memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah pun terdesak bagi penduduk Gaza dan tebusan yang masih ditahan.










