GAZA: Tentera Israel menyerang sebuah gudang yang menyimpan bekalan perubatan di Kompleks Perubatan Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, semalam.
Kementerian Kesihatan Gaza menerusi hantaran di media sosial turut memuat naik beberapa gambar keadaan selepas serangan menunjukkan kerosakan teruk ke atas bekalan perubatan serta peralatan penting yang disimpan di gudang terbabit.
Serangan itu berlaku sehari selepas tentera Israel mengumumkan pelancaran serangan darat berskala besar di beberapa kawasan di Gaza di bawah operasi yang dinamakan Operation Gideon’s Chariots.
Ia sekali gus menandakan peningkatan drastik dalam peperangan yang terus menjejaskan penduduk Palestin di wilayah terkepung itu.
Minggu lalu, tentera Israel turut menyerang hospital terbesar di Gaza, Kompleks Perubatan Nasser yang mengorbankan dan mencederakan beberapa pesakit yang sedang dirawat di dalamnya, menurut pihak berkuasa Gaza.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel didakwa secara sistematik menyasarkan kemudahan kesihatan termasuk hospital di Gaza menjadikan kebanyakannya tidak lagi berfungsi dan membahayakan nyawa pesakit serta mangsa cedera, seperti dilaporkan oleh pihak Palestin dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 53,300 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan berterusan Israel yang majoritinya wanita dan kanak-kanak.- AGENSI










